Empat modul dirangka dalam program rehabilitasi ahli GISBH

Empat modul dirangka dalam program rehabilitasi ahli GISBH


KUALA LUMPUR: Sebanyak empat modul dirangka dalam program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang akan dijalankan di lebih 20 pusat rehabilitasi seluruh negara. 

Modul yang dirangka membabitkan pemulihan akidah, latihan dan kemahiran, kenegaraan serta pendidikan dan kaunseling.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, satu pasukan telah dibentuk bukan saja di peringkat persekutuan tetapi juga peringkat negeri untuk melaksanakan program pemulihan ahli GISBH.

“Mereka yang menyertai program ini akan diberi bimbingan mengikut modul disediakan oleh setiap agensi terbabit mengikut bidang masing-masing,”katanya dalam sidang akbar khas di ibu negara hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah MKN, Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin; Timbalan Ketua Pengarah MKN (Keselamatan Strategik), Datuk Baharuddin Ahmad dan Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dr Sopian Brahim.

Mengulas lanjut, Dr Sirajuddin berkata, pemulihan peserta GISBH dinilai bergantung kepada penerimaan terhadap pemulihan yang dilaksanakan itu.

Ujar beliau, tempoh tiga bulan atau 90 hari pelaksanaan program rehabilitasi sudah memadai. 

“Namun begitu, tahap kesannya ada perbezaan antara seseorang dengan seorang yang lain. Jika memerlukan bimbingan lebih terperinci akan ada proses bimbingan susulan terhadap mereka,” ujarnya.

Ditanya mengenai adakah ahli GISBH di negeri belum difatwakan sesat boleh menyertai program rehabilitasi itu, Sirajuddin berkata, program ini terbuka kepada semua ahli yang mahu mendapatkan bimbingan.

Kata beliau, ini adalah peluang dan ruang yang dibuka oleh kerajaan kepada mangsa yang mungkin sedar apa diamalkan sebelum ini menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

“Alhamdulillah sehingga hari ini, sudah ada tiga negeri yang telah menfatwakan bahawa GISBH menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ada beberapa negeri lagi masih dalam proses.

“Bagi kami ia tidak menjadi halangan atau masalah, walaupun negeri itu belum fatwa sesat mereka boleh tampil untuk dapatkan pemulihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga mengalu-alukan kepada mana-mana ahli yang mahu mendapatkan kebenaran mengenai pegangan diamalkan GISBH boleh tampil menyertai program.

“Ini membolehkan mereka mendapat gambaran sebenar dan maklumat lanjut dalam meneruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top