am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Jenazah empat sekeluarga yang meninggal dunia dalam nahas kereta dan treler di Kilometer 34, Jalan Gua Musang – Kuala Krai, berhampiran Felda Chiku 1, Gua Musang, pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kubang Bemban, di sini, jam 12 tengah malam, hari ini.
Mangsa Muhammad Faiz Nor Amran, 32, adiknya, Nor Aina Imra Nor Amran, 21, dan dua anak kepada Muhammad Faiz iaitu Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5 dan Muhammad Aydan Fattah, 4, dikebumikan dalam satu liang lahad.
Sebelum itu, mereka dikafankan di Hospital Gua Musang yang kemudiannya disembahyangkan di Madrasah Ar Rahman Kampung Padang To’la, di sini.
Kesemua jenazah sampai dengan dibawa menggunakan empat van jenazah pada jam 11.12 malam.
Majlis pengebumian itu dihadiri lebih 500 ahli keluarga dan kenalan bagi memberi penghormatan terakhir kepada mereka
Media sebelum ini melaporkan, empat sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak maut dalam nahas membabitkan kereta dan treler di Kilometer 34, Felda Chiku 1, dekat Gua Musang, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Manakala, isteri kepada Muhammad Faiz yang juga pemandu kereta iaitu Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, cedera parah dan masih mendapat rawatan di Hospital Gua Musang.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Faiz, iaitu Shahima Hamid, 54, meluahkan rasa syukur kerana urusan pengebumian dua anak serta dua cucunya dipermudahkan.
“Saya reda dan cuba berdamai dengan takdir apabila diuji dengan kehilangan empat ahli keluarga serentak. Insya-Allah, saya kuat untuk membiasakan diri dengan hidup tanpa mereka walaupun kesemuanya tinggal bersama saya.
“Sekarang, apa yang saya harapkan semoga menantu, Tuan Nor Syuhada terus kuat dan segera sembuh.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberikan kata-kata semangat kepada saya,” katanya.
Berita berkaitan:
Air mata isteri, hanya mampu usap jenazah suami, 2 anak
‘Mama baru sahaja hubungi mereka sebelum kami dikejutkan dengan berita kemalangan itu’
Wanita pengsan 4 kali lihat jenazah anak, cucu maut kemalangan
‘Saya hanya ada 2 cucu, dan mereka hilang dalam sekelip mata’
Empat maut kemalangan di Felda Chiku termasuk dua kanak-kanak
© New Straits Times Press (M) Bhd





