TIDAK ramai sanggup mengorbankan usia muda dengan menetap bertahun-tahun di dalam masjid semata-mata untuk menimba ilmu agama.
Namun, itulah jalan yang dipilih Pengasas dan Presiden Pertubuhan Al Khaadem, Datuk Dr Mohd Hussain Abdullah atau lebih dikenali ramai sebagai Dr Sheikh Hussain Yee, 75, selepas memeluk Islam pada tahun 1968.
Empat tahun lamanya beliau ‘berkampung’ di rumah ALLAH sebelum melangkah sebagai pendakwah disegani baik di tanah air mahupun di peringkat antarabangsa.
Sebaik mengucapkan syahadah pada usianya 18 tahun di Masjid Pakistan, Pulau Pinang, beliau memilih berpindah dari satu masjid ke masjid lain sekitar Pulau Mutiara kerana tidak mahu membebankan keluarga.
DR SHEIKH HUSSAIN YEE
“Masa itu, keluarga tahu saya masuk Islam, tapi tak tahu saya pilih untuk tidur dalam masjid. Kalau ditanya tinggal di mana, saya jawab ‘rumah besar’.
“Saya tak mahu mereka memandang serong terhadap agama ini disebabkan keadaan saya. Jadi saya lebih suka berdikari,” cerita beliau ketika ditemui Sinar Islam Plus pada New Muslims Community Conference 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Detik hidayah
Dilahirkan dalam keluarga bukan Islam, minat Dr Sheikh Hussain Yee sejak remaja adalah mencari kebenaran tentang perkara ghaib termasuk tuhan, akhirat dan malaikat.
Pencariannya menemukan jawapan apabila beliau membaca kisah Sayidina Umar Al-Khattab RA.
“Dengan pengislaman Umar, saya sedar agama ini hebat. Islam mampu mengubah seseorang yang begitu menentang Nabi Muhammad SAW kepada menjadi khalifah agung.
“Itulah titik awal perjalanan saya dalam Islam,” imbas beliau.

DR SHEIKH HUSSAIN YEE (dua, kiri) pernah empat tahun ‘berkampung’ di masjid sekitar Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian di Madinah dan melangkah sebagai pendakwah disegani di tanah air sendiri mahupun di peringkat antarabangsa. -Foto IHSAN DATUK DR HUSSAIN YEE
Namun, langkah awal itu tidak mudah. Ironinya, cabaran bukan datang daripada keluarga, sebaliknya segelintir Muslim sendiri.
“Saya pernah dihalau keluar dari masjid hanya kerana menegur jemaah yang merokok.
“Saya kata masjid tempat suci, jangan dicemarkan. Mereka marah sebab saya baru masuk Islam, tetapi sudah pandai menegur,” ceritanya.
Pengalaman itu mendidiknya agar lebih berhikmah dalam memberi peringatan kepada orang lain.
Berguru dengan ulama besar
Selepas menimba asas ilmu di masjid sekitar Pulau Pinang, beliau digalakkan dua saudara baharu dari Jerman untuk melanjutkan pengajian di Madinah.
Di sana, beliau berpeluang menuntut ilmu hadis dengan tokoh hadis terkemuka abad ke-20, Sheikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani (meninggal dunia pada 1420 Hijrah).
Enam tahun menuntut di Madinah, penerima Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2017 dan Perlis 2022 itu meneruskan pengembaraan ilmu dan perjalanan dakwahnya ke Syria, Paris, Hong Kong dan negara minoriti Muslim di Asia Pasifik sebelum kembali ke tanah air sekitar 1981.
“Pengalaman di luar negara sangat berharga. Masyarakat Eropah misalnya gemar bertanya dan bersifat terbuka.
“Kalau kita guna logik,hujah berhikmah dan penjelasan praktikal, mereka mudah terima,” katanya.

HAMPIR lima dekad Dr Sheikh Hussain Yee dalam bidang dakwah, beliau menerima banyak pengiktirafan antaranya Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang pada 2017 dan Perlis pada 2022. -Foto IHSAN DATUK DR HUSSAIN YEE
Namun di tanah air, ujian lebih mencabar. Perpecahan sesama Muslim dan kecenderungan mencampuradukkan adat dengan agama sering menyukarkan usaha dakwah.
“Kadang-kadang orang fikir masuk Islam mesti jadi Melayu. Itu silap. Islam bukan bangsa. Islam untuk semua,” tegasnya.
Dakwah dengan ilmu, akhlak
Hampir lima dekad mengabdikan diri dalam dunia dakwah, membantu saudara baharu dan golongan memerlukan, Dr Sheikh Hussain Yee turut memberi perhatian kepada pembentukan generasi muda.
Buktinya, melalui Pertubuhan Al Khaadem, beliau menganjurkan kem belia tahunan saban tahun, Al Khaadem Youth Camp untuk membentuk remaja agar memiliki akhlak Islam yang indah lagi universal.
“Kalau anak-anak hanya disuruh solat tanpa faham nilainya, mereka akan buat kerana terpaksa, bukan kerana percaya. Itulah pentingnya tarbiah sejak kecil,” jelas beliau.

PENDEKATAN dakwah Dr Sheikh Hussain Yee yang disampaikan penuh hikmah dan menggunakan bahasa mudah difahami membuatkan ramai yang begitu dekat dengan penyampaian beliau. -Foto IHSAN DATUK DR HUSSAIN YEE
Beliau juga menekankan tanggungjawab ibu bapa sebagai madrasah pertama.
“Sikap ibu bapa yang mengabaikan contoh amal ibadah boleh menjerumuskan generasi muda kepada kekeliruan.
“Semua anak dilahirkan fitrah bersih. Apa yang merosakkan adalah pengaruh pertama daripada ibu bapa, kemudian rakan sebaya. Sebab itu Nabi Muhammad SAW pesan, berhati-hati memilih kawan,” katanya lagi.
Baginya, hidayah merupakan anugerah, manakala dakwah mesti sentiasa digerakkan dengan ilmu dan hikmah.
“Kita kena sampaikan Islam ikut kemampuan orang. Kalau orang awam, gunakan bahasa mudah. Kalau peniaga, manfaatkan platform perniagaan.
“Paling penting, tunjukkan akhlak (baik) kerana tindakan lebih berkesan daripada kata-kata,” katanya.

DR SHEIKH HUSSAIN YEE (kiri) turut menitikberatkan soal pembentukan generasi muda menerusi kem belia anjuran Pertubuhan Al Khaadem yang diasaskannya iaitu Al Khaadem Youth Camp saban tahun agar mereka memiliki akhlak Islam yang indah lagi universal. -Foto IHSAN DATUK DR HUSSAIN YEE
Tegas beliau, dakwah bukan milik satu bangsa dan Islam tidak pernah menyusahkan, sebaliknya rahmat untuk semua.
“Ilmu Islam untuk semua, bukan hanya untuk orang Islam. Kita berusaha menyampaikan sebaik mungkin. Hidayah itu hak ALLAH,” katanya.