Enam gantian: Isyarat baharu kelab Eropah lawan tekanan jadual padat

Enam gantian: Isyarat baharu kelab Eropah lawan tekanan jadual padat


CADANGAN memperkenalkan enam pemain gantian dalam setiap perlawanan kini menjadi antara topik hangat dalam kalangan kelab-kelab utama Eropah yang semakin bimbang terhadap kesan jadual padat terhadap tahap fizikal dan mental pemain.

Difahamkan, perbincangan mengenai perkara itu tercetus secara tidak rasmi ketika Perhimpunan Agung Kelab Bolasepak Eropah (EFC) di Rom minggu lalu, walaupun tidak termasuk dalam agenda rasmi persidangan.

Beberapa kelab gergasi termasuk dari Liga Perdana Inggeris seperti Manchester City, Liverpool, Manchester United, Arsenal dan Nottingham Forest dilapor mengambil bahagian dalam sesi tertutup tersebut yang turut menyentuh kemungkinan memperbesarkan saiz skuad kepada 28 pemain berbanding had semasa 25 pemain.

Sekiranya dipersetujui, perubahan itu perlu terlebih dahulu mendapat perakuan daripada Lembaga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB), badan penggubal undang-undang bola sepak dunia, sebelum dibawa ke peringkat pelaksanaan.

Peraturan lima pemain gantian sebelum ini mula diperkenalkan pada Mei 2020 ketika saingan bola sepak disambung semula selepas pandemik Covid-19.

Namun, ia hanya kekal sementara apabila liga kembali kepada tiga gantian pada musim berikutnya, sebelum lima pemain gantian disahkan kekal mulai musim 2022/23.

Selain itu, pasukan turut dibenarkan membuat pertukaran tambahan bagi menggantikan pemain yang disyaki mengalami kecederaan di kepala, satu langkah keselamatan yang diiktiraf badan perubatan sukan antarabangsa.

Langkah menambah tiga lagi tempat dalam senarai pemain diyakini mampu memberi ruang rotasi lebih luas kepada jurulatih.

Ini sekali gus mengurangkan risiko kecederaan dan keletihan kronik, terutama kepada pemain muda yang terpaksa melalui jadual padat di peringkat kelab dan antarabangsa.

Musim lalu, pertahanan muda Tottenham, Archie Gray disenaraikan skuad dalam 80 perlawanan melibatkan kelab dan negara, termasuk perlawanan persahabatan rekod tertinggi di Eropah bersama bintang Real Madrid, Arda Guler.

Gray, 19, turut membuat 48 penampilan sepanjang musim ketika membantu Spurs menjuarai Liga Europa dan membantu skuad England Bawah 21 Tahun menjulang trofi Euro 2025.

Namun, Persatuan Pemain Profesional (PFA) berpandangan penambahan saiz skuad belum tentu mampu menyelesaikan isu utama kerana pemain tetap perlu menjalani rutin latihan, persediaan taktikal serta perjalanan ke lokasi perlawanan, walaupun tidak diturunkan.

Menurut laporan FifPro, kesatuan pemain bola sepak dunia, situasi itu masih dikira sebagai sebahagian daripada masa kerja pemain profesional dan menyumbang kepada tekanan mental jangka panjang.

Pada Jun lalu, UEFA, EFC, FifPro Eropah dan Liga Eropah (EL) melancarkan kajian menyeluruh bagi menilai hubungan antara beban perlawanan, tahap kecederaan serta kesejahteraan pemain.

Ketika ini, EFC mewakili lebih 800 kelab lelaki dan wanita dari 55 negara termasuk Paris Saint-Germain, Inter Milan dan Barcelona yang turut menghadiri mesyuarat di Rom minggu lalu.

Cadangan penggunaan enam pemain gantian ini dilihat bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi mungkin menjadi isyarat awal kepada reformasi struktur bola sepak profesional Eropah dalam usaha menyeimbangkan antara kepentingan komersial dan kebajikan pemain.

Ringkasan AI

  • Cadangan memperkenalkan enam pemain gantian dalam setiap perlawanan dicetuskan oleh kelab-kelab utama Eropah bimbang jadual padat pengaruhi pemain
  • Perbincangan tidak rasmi mengenai cadangan ini berlaku di Perhimpunan Agung Kelab Bolasepak Eropah di Rom
  • Kelab gergasi termasuk Manchester City dan Liverpool menyentuh kemungkinan memperbesarkan saiz skuad kepada 28 pemain
  • Perubahan tersebut perlu perakuan daripada Lembaga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa sebelum pelaksanaan
  • Cadangan ini dianggap mungkin isyarat awal kepada reformasi struktur bola sepak profesional Eropah



Source link

OR

Scroll to Top