Enam tukang sapu menang saman terhadap majikan, tuntut baki gaji minimum RM28,500

Enam tukang sapu menang saman terhadap majikan, tuntut baki gaji minimum RM28,500

Enam tukang sapu menang saman terhadap majikan, tuntut baki gaji minimum RM28,500


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Enam tukang sapu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) menang saman terhadap sebuah syarikat pembersihan yang enggan membayar baki gaji minimum ditetapkan kerajaan selama setahun dua bulan berjumlah RM28,500.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Shamsul Bahrin Abdul Manaf di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas menolak rayuan syarikat pembersihan, Monson Tropical Trading selaku perayu yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 iaitu RM1,500 ketika enam responden ditugaskan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) di sini bermula Mei 2022 hingga Julai 2023.

Enam responden itu diketuai Zuhaida Daud, Mohamad Safuan Zakaria yang juga OKU lembam, Sharifah Mohamad, Mahani Daud, Mohd Hafizi Mohd Arshad dan Muhammad Nasharudin Samsudin.

Shamsul Bahrin menegaskan, perintah gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan mengatasi persetujuan kontrak dan perjanjian sebelum ini yang sudah tidak sah.

“Perintah yang ditetapkan kerajaan sewajarnya memberi perlindungan maksimum kepada pekerja.

“Sehubungan itu, mahkamah memerintah pihak perayu membayar baki gaji sebanyak RM28,500 kepada enam pekerja mengikut perintah gaji minimum yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Keenam-enam responden diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan manakala syarikat Monson Tropical Trading diwakili peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin.

Sebelum ini, seramai 15 pengadu yang diketuai Zuhaida memfailkan tuntutan tunggakan gaji terhadap Monson Tropical Trading di Pejabat Tenaga Kerja Kota Bharu pada 15 Mei 2024.

Tuntutan pengadu itu mendakwa mereka yang juga pekerja kepada defendan berjawatan tukang sapu dan ditugaskan di bangunan pejabat SUK.

Kesemua pengadu mendakwa gaji pokok terakhir adalah sebanyak RM1,200 sebulan dan hari terakhir mereka bekerja adalah pada 31 Julai 2023.

Bagaimanapun, hanya enam responden yang tampil memberi keterangan Pejabat Tenaga Kerja.

Ketua Pengarah Tenaga Kerja membenarkan tuntutan tunggakan gaji minimum sebanyak RM28,500 kepada semua pengadu pada akhir kes berkenaan.

Monson Tropical Trading selaku perayu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Pejabat Tenaga Kerja membuat merayu terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Tinggi sebelum keputusan hari ini turut memihak kepada enam tukang cuci berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top