Energy Asia 2025 pemangkin peralihan tenaga Asia

Energy Asia 2025 pemangkin peralihan tenaga Asia


mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Forum Energy Asia 2025 anjuran Petronas yang bakal berlangsung dari 16 hingga 18 Jun depan dijangka menjadi pemangkin utama dalam mempercepatkan peralihan tenaga di Asia.

Energy Asia 2025 turut dianjurkan dengan kerjasama CERAWeek, S&P Global bagi menyelaras hala tuju strategik tenaga serantau selain merangsang pelaburan dan kerjasama rentas industri.

Naib Presiden, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Ir Norafizal Mat Saad berkata, forum berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bakal menghimpunkan lebih 180 penceramah antarabangsa dan lebih 4,000 delegasi global dari 50 negara dalam usaha merangka penyelesaian rentas sektor bagi masa depan tenaga yang lebih bersih dan mampan.

Katanya, forum bertemakan Delivering Asia’s Energy Transition itu akan mengetengahkan 50 sesi dialog strategik meliputi tujuh tema utama termasuk ekonomi dan geopolitik, pasaran tenaga, inovasi teknologi serta kelestarian.

“Asia adalah rantau paling pesat berkembang dan menyumbang kepada lebih separuh daripada populasi serta pelepasan gas rumah kaca dunia.

“Maka kejayaan Asia mencapai matlamat sifar bersih adalah penting untuk kejayaan global,” katanya pada Sesi Lunch Escape Road To Energy Asia di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Media Prima Berhad (MPB) merangkap Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim.

Norafizal berkata, pendekatan realistik dalam peralihan tenaga diperlukan terutama bagi negara sedang membangun supaya kemajuan dapat dicapai secara adil dan inklusif.

“Forum itu dijangka menjadi antara acara industri tenaga terbesar tahun ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dialog tenaga serantau.

“Petronas turut mengiktiraf peranan media dalam membantu menyampaikan naratif seimbang berkaitan usaha peralihan tenaga di Asia kepada masyarakat global,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan (Tenaga Asia & Strategi, Perancangan dan Tadbir Urus, Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi) Petronas, Datin Arni Laily Anwarrudin berkata, Energy Park yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada forum berkenaan akan menjadi pusat demonstrasi teknologi rendah karbon sekali gus menampilkan penyelesaian inovatif masa depan.

“Energy Park yang menjadi antara tarikan utama turut diperbesarkan dua hingga tiga kali ganda berbanding tahun lalu bagi memberi ruang kepada lebih banyak pameran teknologi dan inovasi terkini dalam industri tenaga.

“Selain itu, antara tumpuan utama ialah penganjuran program Future Energy Leaders yang menyasarkan penyertaan anak muda dalam usaha meningkatkan kesedaran dan minat terhadap kerjaya serta peluang dalam sektor tenaga.

“Kita mahu bina ekosistem yang menyokong peralihan tenaga secara menyeluruh dan ini bermula dengan menyemai minat dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Katanya, sesi meja bulat Ketua Pegawai Eksekutif kali ini dijangka lebih produktif apabila peserta dibahagikan kepada kumpulan kerja bagi menghasilkan komitmen bersama ke arah kerjasama yang lebih berkesan dalam sektor tenaga.

“Kita bukan sahaja mahu libatkan pembuat dasar dan pemain industri tetapi juga pelajar, juruteknik, usahawan serta pemain industri tenaga untuk bersama-sama mencari penyelesaian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR