Enggan Berdiam Diri, Sharifah Haneesya Lantik Peguam Tuntut Bayaran RM18,000 – “Ini Bukan Soal Duit, Tapi Maruah!”

Enggan Berdiam Diri, Sharifah Haneesya Lantik Peguam Tuntut Bayaran RM18,000 – “Ini Bukan Soal Duit, Tapi Maruah!”


Pelakon dan model, Sharifah Haneesya Hanee nekad memperjuangkan haknya selepas mendakwa tidak menerima bayaran promosi bernilai RM18,000 daripada sebuah agensi yang kononnya mewakili jenama automotif terkenal.

Menurut Haneesya, atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, dia sudah melantik peguam dan menghantar surat tuntutan rasmi kepada individu terbabit.

Namun, surat itu dikatakan dipulangkan semula kerana pihak berkenaan enggan menerimanya.

“Saya dah ‘lawyer up’. Tapi bila melibatkan undang-undang, prosesnya memang panjang. Peguam saya dah hantar surat, tapi surat itu dipulangkan balik.

“Mungkin orang tu tak nak terima. Sekarang peguam saya sedang teruskan ke langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media filem Malam Terlarang di GSC Mid Valley, baru-baru ini.

Tambah Haneesya, peguamnya ada menasihati agar dia mempertimbangkan semula keputusan untuk membawa kes ini ke mahkamah kerana melibatkan masa dan kos yang tinggi.

Namun bagi Haneesya, perkara itu bukan alasan untuk dia berdiam diri.

“Peguam saya tanya juga, ‘awak pasti nak teruskan ke?’ Sebab naik turun mahkamah, kos pun bukan sedikit. Tapi bagi saya, ini bukan soal duit semata-mata ini soal maruah dan prinsip,” ujarnya. 

Aktres drama rantaian popular Aku Bukan Ustazah 2 ini berkata, selepas dia mendedahkan perkara tersebut di media sosial, ramai rakan artis turut tampil mengaku pernah menjadi mangsa individu sama.

“Ramai artis mesej saya, katanya mereka pun pernah kena tipu dengan orang yang sama. Saya bukan nak buka aib atau burukkan sesiapa, tapi individu macam ni yang buat industri kami dipandang serong.

“Sedih bila fikir, content saya masih digunakan dan dapat engagement tinggi, tapi saya tak terima bayaran langsung satu sen pun tak ada,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top