Enggan fikir Ballard, Manshahar fokus persiapan Sukan SEA

Enggan fikir Ballard, Manshahar fokus persiapan Sukan SEA


KETIADAAN Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard tidak menjejaskan ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil yang mahu fokus mempersiapkan atlet ke Sukan SEA Thailand Disember ini.

Manshahar yang sudah memulakan tugasnya secara tidak rasmi berkata, segala perancangan kem olahraga negara tetap berjalan seperti biasa menuju 158 hari ke Sukan SEA Thailand.

“Ketiadaan (Ballard) tidak memberi kesan. Dia sudah menjalankan tugasnya dengan baik.

“Saya ambil alih untuk membantu dan sudah pasti ada penambahbaikan yang perlu dibuat untuk persediaan seterusnya,” katanya.

Sukan Sinar pada Rabu melaporkan MA tidak menyambung kontrak Ballard yang akan tamat pada 31 Julai ini disebabkan kekurangan dana akibat kurangnya peruntukan kerajaan dan penajaan swasta.

Manshahar menjelaskan akan mengadakan pertemuan dengan barisan jurulatih dalam masa terdekat untuk merangka perancangan seterusnya.

“Saya perlukan maklumat daripada jurulatih mengenai perancangan mereka terlebih dahulu menjelang Sukan SEA. Maklum balas tersebut mudah untuk saya membuat perancangan dan pelan tindakan seterusnya kepada pelatih dan atlet.

“Maklum balas daripada jurulatih itu penting sebab saya kena pastikan perjalanan ke arah Sukan SEA nanti boleh dilakukan pada tahap terbaik,” katanya.

Sebagai rekod, Manshahar pernah memikul tanggungjawab sama selama tiga tahun setengah sebelum kontraknya tidak disambung selepas tamat pada Disember 2022.



Source link

OR

Scroll to Top