Penyanyi dan pelakon Erra Fazira berkongsikan anak perempuannya, Engku Aleesya menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang psikiatri.
Memetik mStar Online, Erra berkata Aleesya kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat A Level di sebuah kolej.
BACA: “Berhenti Panggil Saya Bekas Suami Erra Fazira, Panggil Bapa Aleesya”
Menurut Erra, anaknya dilihat seorang yang pendiam namun gemar memerhati karakter orang sekeliling dan baginya bidang tersebut sesuai dengan Aleesya.
“InsyaAllah tahun depan baru kami buat keputusan sama ada dia akan melanjutkan pelajaran di luar negara atau dalam negara saja.
“Cita-cita Aleesya nak jadi psikiatri kerana dia minat membaca. Saya rasa kenapa dia minat bidang ini adalah Aleesya seorang pemerhati.
“Dari dulu dia memang diam tapi memerhati karakter orang lain. Tiba-tiba dia nak pilih bidang psikiatri ini saya rasa memang sesuai dengan dirinya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kehidupannya sebagai anak selebriti terkenal, Erra berkata Aleesya pernah rasa kurang selesa dikaitkan dengan populariti namun kini anaknya lebih matang.
“Saya tahu kadang-kadang reaksinya tidak selesa bila orang selalu mengaitkannya dengan ‘Erra Fazira’. Saya tahu dia pernah melalui fasa tidak selesa tapi sekarang dia lebih terbuka dan matang. Sekarang tak rasa kekok jika berada di khalayak ramai. Dia dah boleh handle situasi itu,” katanya.
Sumber: mStar Online






