London: England akan berdepan Uruguay dan Jepun dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley Mac depan sebagai persiapan menjelang Piala Dunia 2026, umum Persatuan Bolasepak England (FA).
Dua perlawanan itu menjadi peluang terakhir buat pengurus England, Thomas Tuchel, menilai skuadnya sebelum memuktamadkan senarai pemain ke kejohanan pada Mei.
Selepas undian minggu lalu tidak menemukan England dengan wakil Asia atau Amerika Selatan, Tuchel terbuka mencari lawan berbeza untuk Mac, dan kini sah England akan menentang Uruguay yang menghuni ranking ke-16 dunia pada 27 Mac, sebelum bertemu Jepun, ranking ke-18, tiga hari kemudian.
“Kami gembira dua aksi ini disahkan ketika tahun Piala Dunia semakin hampir,” kata Tuchel.
“Kami mahu bertemu dua pasukan dalam kelompok 20 terbaik dunia sambil menguji diri menentang lawan luar Eropah.”
Pertemuan terakhir England dengan Uruguay menyaksikan mereka tewas 1-2 pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2014 di Brazil, manakala pertemuan terakhir dengan Jepun berlangsung pada 2010.
Skuad Tuchel turut dijangka mengadakan dua aksi pemanas badan di Amerika Syarikat (AS) sebelum Piala Dunia yang bakal berlangsung di AS, Kanada dan Mexico.
England diundi dalam Kumpulan L bersama Croatia, Ghana dan Panama, dengan aksi pembukaan menentang Croatia dijadualkan berlangsung pada 17 Jun di Dallas.
© New Straits Times Press (M) Bhd






