England tetap perlu berentap di pusingan kelayakan Euro 2028

England tetap perlu berentap di pusingan kelayakan Euro 2028


London: England masih perlu mengharungi kempen kelayakan untuk beraksi di Euro 2028 biarpun menjadi tuan rumah bersama.

Situasi itu berbeza dengan Argentina yang sudah dijamin tempat ke Piala Dunia 2030 walaupun hanya menganjurkan satu perlawanan.

Keputusan itu mengundang kritikan penyokong bola sepak terutama selepas jutaan peminat menandatangani petisyen menggesa Argentina diharamkan daripada kejohanan akan datang susulan beberapa insiden kontroversi sepanjang Piala Dunia 2026.

Sepanyol, Portugal dan Maghribi selaku tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 diberikan slot automatik ke kejohanan itu.

Lebih mencetuskan perdebatan apabila Argentina, Uruguay dan Paraguay turut diberikan tempat secara automatik walaupun hanya menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan masing-masing sempena edisi ulang tahun ke-100 kejohanan itu.

England pula belum dijamin tempat pada Euro 2028 meskipun menjadi tuan rumah bersama bagi kejohanan 24 pasukan itu.

Perlawanan akan berlangsung di Stadium Wembley, Stadium Tottenham Hotspur, Stadium Etihad (Manchester City), Stadium Hill Dickinson (Everton), St James’ Park (Newcastle) dan Villa Park (Aston Villa).

Kebiasaannya, tuan rumah kejohanan antarabangsa diberikan tiket automatik seperti Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada pada Piala Dunia 2026.

Bagaimanapun, peraturan baharu Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menetapkan England perlu bersaing dalam satu daripada 12 kumpulan yang mengandungi empat atau lima pasukan bersama 50 negara lain bagi merebut tempat ke Euro 2028.

England tidak akan diundi bersama Scotland, Wales dan Republik Ireland yang turut menjadi tuan rumah.

Semua juara kumpulan serta lapan naib juara terbaik akan layak secara automatik.

Bagaimanapun, hanya 20 daripada 24 tempat akan diisi menerusi kelayakan, manakala dua lagi diperuntukkan kepada negara tuan rumah sekiranya mereka gagal melepasi saingan kumpulan.

Ini bermakna jika dua lagi negara tuan rumah berjaya layak menerusi kempen kelayakan, England hampir pasti akan mendapat satu daripada slot khas berkenaan sekiranya gagal menamatkan saingan di kedudukan dua terbaik kumpulan.

Namun, jika tiga atau keempat-empat tuan rumah gagal layak menerusi kelayakan, hanya dua pasukan tuan rumah dengan ranking tertinggi akan diberikan slot itu.

England yang berada dalam kelompok pasukan terbaik dunia dijangka tidak berdepan masalah untuk layak, namun layanan berbeza berbanding Argentina terus menjadi bahan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top