England waspada kebangkitan Itali

England waspada kebangkitan Itali


Rom: Kapten bersama England, Jamie George tidak sabar berdepan Itali yang semakin meningkat ketika pasukannya cuba menyelamatkan kempen Kejohanan Enam Negara di Rom, Ahad ini.

England kini berada dalam tekanan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Scotland dan Ireland termasuk kekalahan besar di laman sendiri kepada Ireland.

Skuad kendalian Steve Borthwick sebelum ini hadir ke kejohanan dengan rekod 11 kemenangan berturut-turut serta memasang impian memburu gelaran di Paris pada aksi terakhir kejohanan.

Namun kini mereka perlu berdepan Itali yang semakin yakin untuk menamatkan rekod buruk selepas tewas 32 kali berturut-turut kepada England.

“Rom sentiasa tempat sukar untuk bermain, tetapi dengan prestasi Itali ketika ini, ia mungkin ujian paling sukar pernah dihadapi England menentang mereka. Kami sedia menghadapinya.

“Kami tidak mahu berada dalam situasi ini, tetapi saat seperti ini sebenarnya mengajar banyak perkara mengenai pasukan.”Ia boleh menjadi detik penting yang menentukan hala tuju pasukan selepas ini,” kata George

Borthwick melakukan rombakan besar selepas kekalahan 21-42 kepada Ireland di Twickenham dengan menurunkan sembilan muka baharu dalam kesebelasan utama.

Pemain posisi fly half, George Ford digugurkan sepenuhnya daripada skuad hari perlawanan selepas dua aksi kurang meyakinkan.

Tempatnya kini diisi Finn Smith manakala barisan tiga suku turut dirombak dengan Tommy Freeman menjadi satu-satunya pemain yang mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama.

Walaupun berdepan kritikan, George percaya England masih berada di landasan tepat selepas kemenangan 33-19 ke atas New Zealand pada November lalu serta menewaskan juara bertahan Perancis dalam kejohanan tahun lalu.

“Kami akan menjadi pasukan hebat dalam beberapa tahun akan datang.

“Sepanjang 12 bulan lalu kami kelihatan sangat bersatu dan dua keputusan buruk ini hanyalah gangguan kecil.

“Kami tidak jauh daripada menjadi pasukan seperti yang kami mahukan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Itali, Gonzalo Quesada menyambut kepulangan pemain tengah berpengaruh, Juan Ignacio Brex namun kehilangan pemain belakang lincah, Ange Capuozzo akibat kecederaan bahu.

Bekas jurulatih Afrika Selatan, Nick Mallett turut memuji kekuatan barisan hadapan Itali yang disifatkan sebagai paling kuat dalam kejohanan kali ini.

Walaupun England dilihat bergelut, Quesada menegaskan pasukannya tidak akan memandang rendah keupayaan lawan.

“Mereka pasukan yang menarik. England memenangi paling banyak penalti, mencatat jarak larian tertinggi dan melakukan terjahan dominan terbanyak.

“Walaupun mereka tewas, mereka masih melakukan banyak perkara dengan baik.

“Kami tahu kekuatan mereka dan yakin England akan tampil dengan prestasi terbaik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top