Eogene, Zhi Yang-Nicole wira Malaysia di Ipoh

Eogene, Zhi Yang-Nicole wira Malaysia di Ipoh


MALAYSIA muncul juara keseluruhan Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Petronas 2025 selepas merangkul dua gelaran pada aksi final di Arena Badminton Perak, Ipoh, pada Ahad.

Gelaran tersebut hadir menerusi acara beregu campuran dan perseorangan lelaki, manakala impian untuk menambah satu lagi kejuaraan dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian selepas wakil negara tunduk di pentas akhir.

Dalam beregu campuran, pasangan bukan pilihan, Tan Zhi Yang-Nicole Tan, membuktikan kejutan yang dilakukan ke atas gandingan pilihan utama Indonesia pada separuh akhir bukan sekadar nasib apabila menundukkan pasangan senegara lawan itu, Kenzie Yoe-Luna Rianty Saffana, 16-14, 15-10 dalam masa 32 minit.

Kejayaan itu melengkapkan prestasi cemerlang Zhi Yang-Nicole yang sebelum ini mara ke separuh akhir Terbuka Slovakia, sekali gus menghadiahkan gelaran pertama buat Malaysia.

Zhi Yang-Nicole ungguli beregu campuran Kejuaraan Cabaran Antarabangsa Petronas 2025. Foto BAM

Sementara itu, final acara perseorangan lelaki menyaksikan pemain muda berusia 20 tahun, Eogene Ewe, menambah koleksi kejuaraan selepas muncul juara Terbuka Slovenia baru-baru ini.

Walaupun dikejutkan dengan kekalahan set pertama 8-15 kepada rakan sepasukan Jan Jireh Lee, pemain pilihan kedua itu bangkit garang untuk menang 15-7, 15-13 sekali gus menjulang kejuaraan.

Bagaimanapun, harapan skuad negara memburu gelaran ketiga tidak kesampaian apabila gandingan Muhammad Faiq-Lok Hong Quan, yang juga pemenang emas Sukan Malaysia (SUKMA), tewas 7-15, 9-15 di tangan pilihan utama Jepun, Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate dalam tempoh 26 minit.

Keputusan Kejohanan Cabaran Antarabangsa Petronas 2025:

Perseorangan Wanita:

Devika Sihag (India) kalahkan Isharani Baruah (India) 15-7, 15-12

Beregu Wanita:

Jeon Jui-Kim Ha-na (Korea) kalahkan Yuna Kato-Hina Osawa (Jepun) 15-10, 15-10

Beregu Campuran:

Tan Zhi Yang-Nicole Tan (Malaysia) kalahkan Kenzie Yoe-Luna Rianty Saffana (Indonesia) 16-14, 15-10

Perseorangan Lelaki:

Eogene Ewe (Malaysia) kalahkan Jan Jireh Lee (Malaysia) 8-15, 15-7, 15-13

Beregu Lelaki:

Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate (Jepun) kalahkan Muhammad Faiq-Lok Hong Quan (Malaysia) 15-7, 15-13

 

 



Source link

OR

Scroll to Top