EPL tegas tidak main aksi liga di luar negara

EPL tegas tidak main aksi liga di luar negara


Ketua Pegawai Eksekutif Liga Perdana Inggeris (EPL), Richard Masters menutup terus pintu spekulasi bahawa liga berprestij itu akan menganjurkan perlawanan di luar England.

Meskipun badan induk bola sepak Itali dan Sepanyol kini sedang berusaha mendapatkan kebenaran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk menganjurkan aksi liga masing-masing di luar negara, Masters menegaskan EPL tidak akan mengikut langkah tersebut.

“Tiada sebarang pelan. Ia langsung tidak berada di atas meja perbincangan kami,” tegasnya.

La Liga dijangka menjadi liga Eropah pertama bermain di luar benua apabila Barcelona bertemu Villarreal di Miami, Disember ini, sekiranya permohonan diluluskan.

Serie A pula menanti lampu hijau untuk aksi AC Milan menentang Como di Perth, Australia, Februari depan.

EPL sendiri pernah mencetuskan kontroversi pada 2008 apabila mencadangkan ‘perlawanan ke-39’ di luar England.

Namun, bantahan hebat penyokong dan media memaksa rancangan itu dibatalkan biarpun bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Richard Scudamore mengakui kelab-kelab berminat dengan idea tersebut. Sepuluh tahun lalu, Masters berkata, situasinya kini berbeza.

Ketika ini, 11 kelab EPL dimiliki pelabur Amerika Syarikat, hampir mencapai majoriti dua pertiga (14 kelab) yang diperlukan untuk meminda peraturan liga.

Tahun lalu, Pengerusi Liverpool, Tom Werner pernah melontarkan idea mengadakan perlawanan EPL di bandar seperti New York, Tokyo, Los Angeles, Riyadh dan Rio de Janeiro, namun pemilik AFC Bournemouth, Bill Foley menolak cadangan itu.

Masters menegaskan, EPL sudah berjaya memperkukuh pengaruh global tanpa perlu menganjurkan perlawanan liga di luar England.

“Dahulu, idea ini timbul untuk mengembangkan jenama liga, tetapi kini keperluannya sudah tiada. Kami capai matlamat itu menerusi platform digital, rakan penyiaran, dan siri jelajah pramusim seperti Summer Series di Amerika Syarikat,” katanya.

Penyandang juara, Liverpool, akan membuka tirai musim 2025/26 menentang Bournemouth di Anfield pada Sabtu ini, dan Masters menjangkakan musim baharu yang penuh saingan serta drama untuk peminat bola sepak seluruh dunia.



Source link

OR

Scroll to Top