Era akan beri kerjasama penuh

Era akan beri kerjasama penuh



norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Stesen radio Era akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan menyediakan maklum balas seperti diminta.

Astro Audio dalam satu kenyataan mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan SKMM berhubung kandungan dimuat naik di akaun media sosial Era.

“Kami juga mengambil maklum Notis Niat Penggantungan Lesen dan akan mengemukakan maklum balas rasmi mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Astro Audio memandang serius perkara ini dan sentiasa komited untuk mematuhi ‘standard’ (piawaian) peraturan serta garis panduan komuniti di semua platform kami.

“Kami amat kesal dengan insiden ini dan kesulitan yang dialami,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, tular video didakwa mempersendakan agama yang dilakukan trio segmen 3 Pagi Era iaitu Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin sehingga mereka ‘direhatkan’ daripada ke udara sehingga tarikh akan diberitahu kelak.

Mereka juga sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam untuk diambil keterangan.

Akibat isu itu, pihak SKMM menerusi arahan Kementerian Komunikasi diminta agar siasatan terperinci dijalankan terhadap tindakan berkenaan.

Sejak semalam segmen 3 Pagi Era kini dikendalikan pengacara serta penyampai radio, Namie dan Munabella yang diberi kepercayaan mengisi kekosongan ditinggalkan trio terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top