Era keemasan bola sepak kelab bermula – Infantino

Era keemasan bola sepak kelab bermula – Infantino


PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menegaskan bahawa temasya Piala Dunia Kelab kini merupakan pertandingan kelab paling berjaya di peringkat global walaupun berdepan pelbagai kritikan daripada pengendali, pemain dan pemerhati bola sepak.

Infantino yang menerajui FIFA sejak 2016 mendakwa kejohanan itu telah menjana lebih AS$2 bilion (RM9.4 bilion) hasil pendapatan, bersamaan purata AS$33 juta (RM155 juta) bagi setiap perlawanan.

Malah, menurut Infantino, kejayaan itu membuktikan temasya tersebut sudah mencapai tahap tertinggi, sekali gus menandakan permulaan kepada era keemasan bola sepak kelab di peringkat global.

“Era keemasan bola sepak kelab dunia telah bermula. Kita boleh katakan bahawa Piala Dunia Kelab ini merupakan kejohanan yang sangat berjaya.

“Kita hormati pandangan semua pihak. Memang ada beberapa perkara negatif, tetapi secara keseluruhan ia sangat berjaya. Lebih 2.5 juta penonton hadir ke stadium, iaitu purata 40,000 orang bagi setiap perlawanan.

“Tiada liga di dunia ini yang mencapai angka tersebut kecuali Liga Perdana Inggeris (EPL) dan itu pun melibatkan pasukan tuan rumah. Kejohanan ini diadakan di stadium berkecuali,” katanya ketika bercakap di Trump Tower, New York menjelang perlawanan akhir antara Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) pada Isnin.

Namun, kejayaan dari segi angka tidak menghalang berlakunya kritikan terhadap pelaksanaan kejohanan tersebut, terutama dari segi cuaca, kehadiran penyokong dan kebajikan pemain.

Bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini melabelkan edisi baharu kejohanan itu yang berlangsung pada musim panas dan diperluas kepada 32 pasukan sebagai idea paling teruk dalam sejarah bola sepak.

Pemain-pemain bintang seperti Jude Bellingham, Reece James dan Enzo Fernandez juga mengkritik keadaan cuaca panas melampau selain mutu padang di Amerika Syarikat yang menjadi tuan rumah kejohanan kali ini.

Pemain tengah Chelsea, Fernandez pula menyifatkan cuaca panas sebagai berbahaya, manakala pengendali kelab itu, Enzo Maresca meluahkan rasa kecewa kerana gergasi Liga Perdana Inggeris berkenaan sukar menjalani sesi latihan normal dalam keadaan tersebut.

Suhu di New Jersey, venue perlawanan akhir yang turut bakal dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan mencecah 38 darjah Celsius sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Infantino mengakui isu suhu tinggi memang perlu diberi perhatian serius, apatah lagi menjelang Piala Dunia 2026 yang turut bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dalam tempoh musim panas yang sama.

“Cuaca panas sememangnya menjadi isu bukan sahaja di Amerika, tetapi di seluruh dunia. Ia turut berlaku di temasya Olimpik di Paris dan dalam beberapa kejohanan lain.

“Kita perlu ambil langkah seperti rehat penyejukan, membasahkan padang dan menilai bagaimana untuk memperbaiki keadaan.

“Tapi kita juga ada stadium tertutup seperti di Atlanta dan satu di Vancouver, Kanada. Untuk Piala Dunia nanti, kita akan gunakan lebih banyak stadium berbumbung termasuk di Dallas, Houston dan Los Angeles,” jelas Infantino.

Bulan ini, kesatuan pemain FIFPRO turut mendesak agar beberapa perlawanan, termasuk aksi Chelsea menentang ES Tunis di Philadelphia ditangguhkan atau ditunda akibat cuaca panas melampau.



Source link

OR

Scroll to Top