Indonesia bermula garang dalam Piala ASEAN apabila membelasah Brunei 8-0. FOTO: TIMNAS INDONESIA
PRESIDEN Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir mengharapkan agar lebih ramai penyokong hadir memberikan sokongan kepada skuad bawah 23 tahun (B-23) Indonesia dalam aksi seterusnya di Piala ASEAN B-23 2025.
Perlawanan sulung Kumpulan A yang menyaksikan skuad Garuda Muda membelasah Brunei 8-0 di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK), Jakarta pada Selasa hanya disaksikan sekitar 2,000 penyokong sahaja.
Situasi tersebut berbeza sama sekali berbanding ketika skuad senior Indonesia beraksi di gelanggang sama yang lazimnya sentiasa penuh.
“Mungkin kerana lawan Brunei, di atas kertas ramai jangka kita menang. Dalam separuh masa pertama pun kita sudah mendahului 7-0. Jadi mungkin jangkaan penyokong belum tinggi buat masa ini,” ujar Erick selepas menyaksikan perlawanan itu.
Bagaimanapun, beliau optimis jumlah kehadiran penyokong akan bertambah dalam dua aksi seterusnya menentang Filipina dan Malaysia.
“Saya yakin penyokong akan datang beramai-ramai ketika bertemu Filipina. Tambahan pula, kita dah lama menantikan pertembungan dengan Malaysia di sini.
“Dengan kekalahan Malaysia kepada Filipina, sudah tentu mereka akan tampil lebih bersedia. Perlawanan ini akan lebih sengit dan menarik,” katanya.