Ten Hag. Foto Agensi
ERIK ten Hag dilaporkan menjadi calon utama untuk mengambil alih jawatan pengurus Bayer Leverkusen sekiranya Xabi Alonso berpindah ke Real Madrid musim panas ini.
Bekas pengendali Manchester United itu masih belum mengurus mana-mana kelab sejak dipecat pada Oktober tahun lalu.
Nama ten Hag dikaitkan dengan Leverkusen sebagai persiapan kelab Bundesliga itu menghadapi kemungkinan Alonso pulang ke Sepanyol.
Ten Hag turut disenarai bersama Xavi Hernandez (bekas pengendali Barcelona) dan Fabian Hurzeler (Brighton), namun dianggap sebagai pilihan realistik kerana tidak terikat dengan mana-mana kelab.
Selain itu, ten Hag juga memiliki pengalaman dalam bola sepak Jerman bersama skuad simpanan Bayern Munich antara tahun 2013 hingga 2015, sekali gus menjadikannya calon sesuai mengemudi Leverkusen.
Sebelum ini, jurulatih dari Belanda itu turut dikaitkan dengan kelab Bundesliga lain, Borussia Dortmund hasil hubungannya yang rapat dengan pegawai kelab, Matthias Sammer.