PENGARAH dan penerbit, Erma Fatima memaklumkan dirinya tidak mempunyai perancangan untuk membuat sambungan atau ‘sekuel’ bagi drama ‘Keluarga Itu’.
Ketika ditemui OhBulan!, Erma atau nama sebenar Fatimah Rahmad Ali berkata, adalah sukar untuknya membuat sambungan bagi drama tersebut yang sudah menjadi fenomena sehingga meraih lebih 4 juta tontonan pada episod akhir.
Menurutnya, buat masa ini tiada perancangan untuk pihaknya menghasilkan sambungan drama tersebut kerana beliau adalah seseorang yang tidak gemar memaksa jalan cerita sesebuah drama.
Justeru, sebagai seorang pengarah dan penerbit, agak sukar untuk menambah jalan cerita kemudian menyambung drama itu.
“Sebaliknya, jika jalan cerita yang ditambah tidak menepati konflik asal, kita mungkin merosakkan pula cerita itu.”
“Pada saya, sudah banyak klimaks cerita yang dipaparkan dalam drama pertama dan kalau buat yang kedua, apa pula klimaks cerita yang saya nak bawa?”
Selain itu, ia juga akan menjadi seperti sebuah drama yang dipaksa,” jelasnya.
Erma berkongsi perkara tersebut ketika sesi pusingan akhir pencarian pelakon Drama Sangat TV3 bertempat di Balai Berita, Media Prima, minggu lalu.
Tak kejar nama, wang ringgit
Berkongsi lanjut, kakak kepada pelakon, Datin Seri Umie Aida, menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mengejar populariti mahupun ganjaran wang semata-mata, sebaliknya hanya ingin memberikan komitmen terbaik dalam setiap karya yang dihasilkan.
“Setiap individu yang terlibat dalam penerbitan drama atau filem pastinya mengharapkan pulangan. Namun bagi saya, menyambung sesebuah drama semata-mata untuk mendapatkan kerja atau bayaran bukan sesuatu yang saya akan lakukan,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, jika musim pertama sesebuah drama sudah berjaya dan berkualiti, tetapi musim kedua pula dihasilkan sekadar untuk memenuhi permintaan tanpa menyaingi kekuatan asal, maka ia hanya membuang masa.
“Kalau hendak hasilkan musim kedua, ia perlu lebih hebat daripada yang pertama. Ini bermaksud tanggungjawabnya lebih besar, dan jika merasakan tidak mampu menyaingi pencapaian sebelumnya, adalah lebih baik tidak diteruskan,” ujarnya.
Untuk rekod, drama Keluarga Itu yang bersiaran di TV3 menerima sambutan luar biasa daripada penonton.
Ditayangkan menerusi slot Lestary, drama berkenaan menampilkan barisan pelakon ternama seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Izara Aishah, Puteri Balqis dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd