Acara eksklusif ‘A Letter From Ernie Zakri’ yang berlangsung di Stage 1, PJPAC, Sabtu lalu anjuran SAH Entertainment bersama Universal Music Malaysia benar-benar menghadirkan suasana penuh magis.

Lebih 600 peminat membanjiri dewan untuk meraikan perjalanan seni Ernie Zakri dalam suasana intim, dekat dan sarat emosi, berbeza daripada pentas berskala besar yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Showcase selama dua jam itu bukan sekadar rangkaian lagu, tetapi dirasakan seperti helaian “surat hati” yang dibuka khusus kepada peminat yang menjadi pendorong utama sepanjang kerjayanya.

Dari awal hingga akhir, Ernie kelihatan tersentuh melihat kehadiran peminat yang datang untuk mendengar suara dan kisah yang dikongsi secara begitu peribadi.
“Hari ini rasa sangat bermakna… macam saya memulakan bab baru bersama semua yang ada di sini.
“Setiap senyuman, setiap tepukan dan setiap mata yang memandang saya adalah kekuatan saya.
“Terima kasih kerana sentiasa menerima diri saya dengan penuh kasih,” kata Ernie.

Antara detik paling manis ialah ketika seluruh dewan menyanyi bersama, menghasilkan momen yang pasti akan dikenang lama oleh peminat dan penyanyi itu sendiri.
Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, turut menzahirkan rasa bangga melihat sambutan luar biasa peminat yang memenuhi dewan dan menikmati setiap detik persembahan.
Sufi menyifatkan kejayaan penganjuran ini sebagai dorongan untuk terus menghasilkan acara berkualiti yang memberi pengalaman bermakna kepada peminat dan artis.
Showcase ini juga membawa makna istimewa buat Ernie selepas kejayaan Konsert Aura di Plenary Hall, KLCC pada awal tahun.

Jika Aura mempamerkan kekuatan vokalnya yang gah, A Letter From Ernie Zakri pula mengetengahkan sisi lembut dan jujur yang jarang dibuka kepada umum.






