Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri, sekali lagi menyorot perhatian, namun kali ini bukan kerana kontroversi sebaliknya, kerana pujian yang diterimanya daripada penyanyi dan komposer, Allan Anderson yang memuji sikap profesional serta keperibadian Ernie ketika mereka bekerjasama menghasilkan lagu Nostalgia.
Kata Allan, Ernie bukan sahaja berbakat tetapi sepanjang bekerjasama dia juga menunjukkan disiplin yang sangat tinggi serta sangat menghormati orang lain di sebalik kejayaannya dalam industri seni.
Malah, statusnya sebagai penyanyi popular Malaysia tidak menunjukkan pelantun lagu Dansa itu sedikit pun bersikap diva.
“Banyak DM tanya aku bagaimana perasan Allan kerja dengan Ernie Zakri waktu buat lagu untuk dia? Dari sisi recording, dia sangat berbakat, mudah untuk di direct. Sisi production, dia tidak ada revisi apapun dengan apa yang sudah saya kerjakan. Da, yang lain-lain, tidak ada tawar menawar harga dalam song production, dia sangat menghargai pekerja seni lain.
“Dia juga tidak Bossy, tidak Diva, sangat mudah, dan smooth. Lagu mau release pun saya di maklumkan, sangat menghormati,” katanya.
Jelas Allan, sikap rendah diri dan profesional yang ditunjukkan Ernie menjadikan penyanyi berusia 32 tahun itu contoh sebenar seorang seniman sejati.
“Itulah seniman yang sesungguhnya, tidak mencari publisiti murahan untuk relevant.
“Seniman akan membuat karya, untuk relevant bukan statement,” tambahnya.

Menyedari hantaran berkenaan, Ernie turut tampil memberikan komen balas dengan menzahirkan penghargaan atas kata-kata positif yang diberikan.
“Terima kash sudi berkongsi bakat mu Allan. Senang sekali dengan hasil Nostalgia,” tulisnya.

Lagu bergenre Pop, Citypop ‘Nostalgia’ merupakan antara karya Ernie yang memperlihatkan sisi kematangannya.
Single ciptaan sepenuhnya oleh Allan Andersn ini mengungkapkan mesej kebahagiaan yang berkekalan selain menggambarkan rasa syukur terhadap kebersamaan.





