farihad@bh.com.my
Kuala Lumpur: Anak mana tidak mahu melihat ibu sendiri mendakap bahagia selepas sekian lama berendam air mata akibat pemergian suami tercinta.
Perasaan sama dikongsi pelakon Erysha Emyra ketika ditanya adakah merestui jika ibunya yang juga dramatis, Datin Seri Noniswara Baharuddin kembali mendirikan rumah tangga selepas lebih setahun bergelar balu.
Sebagai anak, Erysha atau nama sebenarnya, Nur Erysha Emyra Zakaria mengakui tidak sampai hati melihat ibunya terus berduka dan berharap segala kesedihan dapat berakhir segera.
“Sebagai anak, saya restu jika sampai seru untuk ibu kembali berkahwin. Cuma, perkara ini berkaitan dengan jodoh. Buat masa ini, saya tahu ibu memang tiada sesiapa istimewa dalam hatinya.
“Kalau ada jodoh, adalah, tapi saya tahu ibu tak mencari. Walaupun sudah semakin pulih, namun, saya tahu sampai sekarang ibu masih bersedih dengan pemergian arwah bapa tiri.
“Pernah juga masa awal-awal dahulu, ibu luahkan rasa sunyi. Sebagai anak, apa yang saya mampu buat hanyalah menenangkan ibu dan menjadi tempat untuknya meluahkan perasaan,” katanya.
Pada Oktober 2023, suami Noniswara iaitu Allahyarham Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan swasta akibat angin ahmar.
Noniswara mendirikan rumah tangga dengan usahawan terbabit sejak 2014. Bagaimanapun, pasangan tidak dikurniakan cahaya mata.
Ditanya adakah meletakkan kriteria untuk mana-mana lelaki yang mahu menjadi calon suami ibu, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu berkata, apa yang diharapkan biarlah dia insan bertanggungjawab dan dapat menjaga ibu dengan baik.
“Tak adalah hendak kata kena ada ciri-ciri tertentu. Harapan saya kalau ibu bertemu jodoh biarlah lelaki itu ikhlas hendak menjaganya. Saling menjaga antara satu sama lain sampai tua.
“Mungkin kena tengok juga siapa calonnya. Kasihan ibu kalau asyik lalui perkara sama.
“Kadang-kadang timbul juga rasa bersalah sebab bila ibu hubungi saya untuk luahkan perasaan, tapi tak dapat nak layan sebab sibuk di lokasi penggambaran,” katanya.
Diusik andaian mungkin ibu menunggu dia naik pelamin terlebih dahulu sebelum tiba gilirannya berkahwin, Erysha hanya mampu tertawa kecil.
Mengulas lanjut, Erysha berkata, buat masa ini, fokusnya lebih kepada kerjaya lakonannya yang baru hendak bermula.
“Lambat lagi rasanya (cari jodoh). Saya baru berusia 26 tahun. Kerjaya lakonan baru hendak bernafas. Tidak tahu bila hendak kahwin, tunggu sahajalah.
“Buat masa ini, fokus saya hanya pada karier dan keluarga. Walaupun tinggal serumah, tapi kami jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk,
“Memang ada yang nak berkenalan, tapi saya lebih selesa anggap mereka sebagai kawan. Saya juga tak mahu beri harapan palsu,” katanya yang baru selesai penggambaran drama bersiri, Aku Bukan Ustazah 2 terbitan Global Station.
Pernah digosip menjalin hubungan cinta dengan pelakon Hun Haqeem selepas berganding dalam drama popular, Chinta Wrong Direction.
© New Straits Times Press (M) Bhd