Esok atau lusa bangkai helikopter terhempas akan dinaikkan – Komander PGU

Esok atau lusa bangkai helikopter terhempas akan dinaikkan – Komander PGU


am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Bangkai helikopter jenis AS355N yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini, pada Khamis, dijangka akan dinaikkan pada esok atau lusa.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Noor Sham Md Jani berkata, proses menaikkan bangkai helikopter nombor pendaftaran 9M-PHG itu akan dilakukan dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Katanya, dengan bantuan daripada agensi itu proses menaikkan bangkai helikopter akan lebih cepat dilaksanakan.

“Bangkai helikopter masih lagi di dasar (sungai), kita jangkakan dalam masa terdekat ini akan dinaikkan dengan bantuan daripada pasukan-pasukan keselamatan TLDM atau Maritim Malaysia yang bersedia untuk membantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM.

“Ini supaya Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dapat menjalankan siasatan dengan lebih lanjut mengenai insiden itu.

“Insya-Allah mungkin esok atau lusa bangkai pesawat itu akan dinaikkan atau ditimbulkan untuk proses selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan lima kru helikopter terhempas di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Noor Sham berkata, setakat ini kotak rakaman suara masih berada dalam bangkai helikopter terbabit.

Katanya, kotak rakaman suara itu sebenarnya adalah perhubungan komunikasi antara pesawat dengan anggota di bawah yang bertugas.

“Itu yang kita nak dengar komunikasi (menerusi kotak rakaman suara) apa yang berlaku pada hari itu,” katanya.

Pada Khamis, helikopter AS355N milik PDRM dilaporkan terhempas berhampiran Jeti Maritim Malaysia di Gelang Patah, ketika sedang melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura 2025 (MITSATOM 2025).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top