Tawau: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus membuktikan peranannya sebagai benteng keselamatan negara di Pantai Timur Sabah dalam membendung jenayah rentas sempadan, walaupun sudah genap 12 tahun ditubuhkan.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Jenayah Sabah (PPDJS) Gundohing Mohd Zaki Hary Susanto berkata, pencapaian luar biasa ESSCOM sejak penubuhannya pada 2013 susulan insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu mengubah landskap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
“ESSCOM bukan sekadar relevan, malah menjadi nadi utama dalam menyelaras operasi keselamatan membabitkan PDRM (Polis Diraja Malaysia), ATM (Angkatan Tenteera Malaysia) dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) termasuk menggagalkan 59 percubaan penculikan, menahan lebih 16,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) serta menghalau atau menahan lebih 500 bot nelayan asing sejak 2013.
“Jumlah ini bukan angka kecil malah ia adalah bukti kejayaan yang signifikan,” katanya dalam kenyataan media sempena Ulang Tahun Ke-12 ESSCOM di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, kejayaan ESSCOM turut diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi canggih seperti radar dan dron pemantauan, selain kolaborasi trilateral dengan negara jiran Filipina dan Indonesia yang menzahirkan komitmen serantau terhadap keselamatan bersama.
Jelasnya lagi, ESSZone yang dahulunya dikenali sebagai zon ‘panas’ kini sudah berubah menjadi kawasan yang lebih stabil, diyakini pelabur serta mencetus satu transformasi besar dalam persepsi keselamatan.
Bagaimanapun, Zaki menekankan bahawa kejayaan tidak boleh menjadikan ESSCOM alpa kerana ancaman kini semakin kompleks.
“Jenayah siber, penyeludupan senjata dan pemerdagangan manusia antara cabaran baharu.
“Justeru, ESSCOM perlu diperkasa dengan aset tambahan, latihan taktikal berskala tinggi serta penglibatan komuniti sebagai mata dan telinga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua warga ESSZone terus menyokong dan menghargai peranan ESSCOM sebagai perisai kedaulatan negara khasnya di Sabah.
© New Straits Times Press (M) Bhd