Estevao bukan jelmaan Messi atau Ronaldo

Estevao bukan jelmaan Messi atau Ronaldo


Rembatan deras Estevao (kiri) menerjah jaring Barcelona pada minit ke-55.

PENGENDALI Chelsea, Enzo Maresca mengingatkan agar sensasi muda kelab itu, Estevao, tidak dibebani dengan perbandingan awal terhadap legenda dunia seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo selepas persembahan cemerlangnya ketika membantu The Blues menewaskan Barcelona 3-0 di Stamford Bridge.

Perlawanan pada awal pagi Rabu itu menyaksikan Chelsea menguasai sepenuhnya aksi Liga Juara-Juara (UCL) berkenaan, bermula dengan jaringan sendiri Jules Kounde pada minit ke-27 sebelum Ronald Araujo dibuang padang tiga minit sebelum rehat.

Keadaan tersebut membuka ruang buat skuad Maresca mengekang juara La Liga itu dengan lebih agresif pada babak kedua.

Estevao kemudian memperagakan aksi solo memukau pada minit ke-55 selepas menerima hantaran Reece James, mengelecek Pau Cubarsi dan Araujo sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Joan Garcia.

Jaringan itu mengangkatnya sebagai remaja ketiga dalam sejarah UCL menjaringkan gol dalam tiga penampilan awal selepas Kylian Mbappe dan Erling Haaland.

Bagaimanapun, Maresca menolak sebarang perbandingan awal dengan bintang ternama dunia, sambil menegaskan pemain berusia 18 tahun itu perlu diberi ruang berkembang.

“Estevao perlu menikmati permainan dan melalui proses latihan tanpa tekanan luar biasa.

“Membandingkan Estevao dengan Messi atau Ronaldo terlalu berat untuk pemain muda sepertinya,” katanya.

Estevao yang kini mengumpul lima gol sejak tiba dari Palmeiras, mengakui malam itu amat bermakna dalam kariernya.

“Saya sendiri sukar menggambarkan perasaan ini. Segalanya berlaku pantas, saya jumpa ruang dan berjaya melepasi beberapa pemain.

“Saya berharap dapat terus menjaringkan gol untuk bertahun-tahun lagi,” katanya yang turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan penyokong sejak hari pertama tiba di London.

Chelsea melengkapkan kemenangan menerusi gol Liam Delap pada minit ke-73, sekali gus melonjak ke tangga kelima liga.

Barcelona yang mara ke separuh akhir musim lalu, jatuh ke kedudukan ke-15.

Kemenangan ke atas gergasi Sepanyol itu memberi tonik tambahan buat The Blues yang akan melayan kunjungan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal hujung minggu ini.

 

 

Ringkasan AI

  • Pengendali Chelsea, Enzo Maresca, mengingatkan agar Estevao tidak dibebani dengan perbandingan dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo
  • Chelsea menewaskan Barcelona 3-0 di Liga Juara-Juara, dengan gol termasuk aksi solo Estevao
  • Estevao menjadi remaja ketiga dalam sejarah UCL menjaringkan gol dalam tiga penampilan awal
  • Maresca menekankan Estevao perlu diberi ruang berkembang tanpa tekanan
  • Kemenangan ini melonjakkan Chelsea ke tangga kelima liga, sementara Barcelona jatuh ke kedudukan ke-15



Source link

OR

Scroll to Top