Esther ungguli acara wanita Triatlon Serantau di Kampar

Esther ungguli acara wanita Triatlon Serantau di Kampar


Esther (tengah) mengungguli acara wanita Piala Pembangunan Serantau Triatlon Dunia di Kampar pada Sabtu.

ATLET triatlon negara, Esther Joy Chen membuktikan keunggulannya apabila bangkit secara dramatik untuk menjuarai acara wanita Piala Pembangunan Serantau Triatlon Dunia yang berlangsung di Kampar, Perak pada Sabtu.

Bersaing di kampus Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), atlet berusia 22 tahun itu berjaya mengatasi ketakutan utama dalam acara renang sebelum mempamerkan kayuhan mantap dalam acara berbasikal dan menamatkan saingan dengan larian bertenaga untuk tiba di garisan penamat sebagai juara.

Esther mencatatkan masa keseluruhan 1 jam 7 minit 18 saat (1:07:18), mengatasi Renata Berliana Aditya dari Indonesia yang mencatatkan masa 1:07:36 di tempat kedua dan Herlene Natasha Yu dari Singapura di tempat ketiga dengan masa 1:08:01.

Kejayaan ini merupakan kemenangan antarabangsa kedua buat Esther selepas menjuarai Kejohanan Triatlon Persekutuan Asia Tenggara di Lumut bulan lalu.

“Berasa amat gembira. Renang merupakan ketakutan terbesar saya, jadi saya banyak berlatih untuk mengatasinya.

“Biarpun di Malaysia tidak banyak lokasi latihan perairan terbuka, namun ia bukan alasan. Saya banyak berenang untuk meningkatkan keyakinan.

“Saya berpuas hati dengan prestasi larian, namun renang dan berbasikal masih boleh diperbaiki,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu, Esther turut menyatakan harapannya agar terpilih mewakili negara ke Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.

“Mengimbas kembali kejayaan ini, saya tidak sangka dapat memintas peserta di hadapan. Apabila penonton menjerit ‘satu lagi’, saya terkejut apabila melintasi garisan penamat di tempat pertama,” katanya lagi.



Source link

OR

Scroll to Top