Milan, Itali: AC Milan meraih kemenangan penting 1-0 ke atas seteru setempat Inter Milan awal pagi tadi, hasil jaringan lewat separuh masa pertama oleh Pervis Estupiñán yang menghidupkan sedikit harapan dalam perebutan gelaran Serie A.
Inter masih mendahului liga dengan 67 mata dan kelebihan tujuh mata berbanding Milan. Namun, kemenangan penuh semangat Milan di Stadium San Siro kembali meniup harapan penyokong mereka ketika musim berbaki 10 perlawanan lagi untuk kedua-dua pasukan.
Pertembungan itu dikenali sebagai Derby della Madonnina, dinamakan sempena patung Virgin Mary yang berada di puncak Milan Cathedral, dan sudah dipertandingkan sejak 1909.
Inter kekurangan pilihan di bahagian serangan apabila Marcus Thuram terlepas perlawanan akibat selesema, manakala kapten serta penyerang utama Lautaro Martínez hanya berada di bangku simpanan ketika masih pulih daripada kecederaan otot.
Pada minit ke-35, Estupiñán meletakkan Milan di depan selepas bijak mencari ruang untuk menerima hantaran sebelum menyudahkannya dengan rembatan kencang dari jarak dekat.
“Ini gol paling penting dalam hidup saya,” kata Estupiñán kepada DAZN selepas perlawanan.
Rakan sepasukannya, Luka Modrić pula berkata: “Kami beraksi dengan usaha yang gigih dan prestasi hebat pada separuh masa pertama. Inter cuba bangkit selepas rehat kerana mereka pasukan kuat, tetapi hampir tidak mencipta peluang berbahaya.”
Kemenangan itu juga menyaksikan Milan melengkapkan double kemenangan liga ke atas Inter musim ini, kedua-duanya dengan keputusan 1-0.
Pengurus Milan, Massimiliano Allegri, bagaimanapun enggan meletakkan harapan tinggi mengenai peluang Scudetto dan menegaskan sasaran utama pasukannya ialah menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Kami bertahan dengan teratur dan mempunyai beberapa situasi yang baik. Tetapi Inter masih kekal sebagai pilihan utama untuk menjuarai liga,” katanya.
“Inter ada kelebihan tujuh mata di puncak liga, itu jurang yang besar. Mereka masih pasukan paling kuat dan calon utama. Kami sebenarnya boleh melakukan lebih baik dan lebih tajam di bahagian serangan dalam beberapa situasi.
“Kami sudah bekerja selama tujuh bulan untuk memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang Mac, kerana ketika inilah perlawanan paling penting musim ini dan segala-galanya ditentukan.”
Milan menguasai sebahagian besar babak kedua ketika memburu gol kedua, manakala Inter sukar menemui rentak di bahagian serangan.
Ketegangan memuncak pada minit akhir apabila sepakan penjuru Inter dilihat masuk ke gawang, namun pengadil terlebih dahulu meniup wisel untuk menghentikan permainan. Sepakan penjuru ulangan itu gagal menghasilkan apa-apa, sebelum wisel penamat disambut sorakan lega penyokong tuan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd





