Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi dengan fokus kepada pembangunan bakat dan kemahiran.
Dalam menterjemahkan semangat kesepakatan dan kerjasama erat ini, satu program wacana iaitu ‘Dialog Polisi EU-ASEAN Ketiga Mengenai Pendidikan Tinggi’ diadakan di ibu negara hari ini.
Program dialog ini dianjurkan EU dan ASEAN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaksanakan melalui Sustainable Connectivity Package – Higher Education (SCOPE-HE).
Ia juga disokong di bawah strategi Global Gateway EU yang bertujuan mempromosi kerjasama akademik, mobiliti pendidikan, serta hubungan rakyat antara kedua-dua rantau.
EU-ASEAN komited perkasa pendidikan tinggi
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi.
“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN, rakan-rakan dari Eropah serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan bakat dan kemahiran melalui pengantarabangsaan bukan sekadar visi, tetapi menjadi realiti yang dapat dirasai,” jelas beliau.
Duta EU ke ASEAN, Sujiro Seam, berkata kepentingan pelaburan strategik dalam pembangunan bakat dan kemahiran adalah kunci bagi menjayakan Kerjasama Strategik EU-ASEAN (2023-2027).
“EU mengulangi komitmennya untuk mengekalkan kerjasama kukuh dengan ASEAN dalam bidang pendidikan tinggi.
“Ia melalui program seperti SCOPE-HE, Erasmus+ dan Horizon Europe adalah bukti sokongan aktif EU terhadap pendidikan tinggi di seluruh ASEAN,” ujar beliau.
Sejak 2014, program Erasmus+ telah menyokong lebih 15,000 pelajar dan akademia ASEAN melanjutkan pengajian jangka pendek, sarjana, serta peluang mengajar atau latihan di Eropah.
Sementara itu, lebih 7,500 pelajar dan akademia dari Eropah turut menyertai pertukaran di ASEAN, selain tawaran biasiswa tambahan daripada negara anggota EU.
Artikel lain: KPT anjur i-FUTURE 2025, tumpu pembangunan kepimpinan pelajar dalam era digital
Dalam bidang penyelidikan, antara 2021 hingga 2024, EU menganugerahkan 90 geran di bawah program Horizon Europe, menyokong 109 institusi di seluruh ASEAN dengan jumlah sumbangan €10.6 juta (RM51 juta).
Dialog Polisi ini merupakan sebahagian daripada SCOPE-HE dan memberi tumpuan kepada pengukuhan kepimpinan pendidikan tinggi, pembangunan TVET, kerjasama antarabangsa yang mampan dan rangka kerja mobiliti.
Ia turut bertujuan merumuskan cadangan dasar untuk Kuala Lumpur Policy Brief, yang akan menyumbang kepada Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN (2026–2030) serta menjadi panduan kerjasama masa depan.