Brussels: Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis menggesa satu moratorium terhadap serangan ke atas kemudahan tenaga dan air dalam perang Amerika Syarikat (AS) – Israel dengan Iran, ketika serangan terhadap sasaran minyak dan gas di Timur Tengah menggegarkan pasaran global.
Pemimpin blok berkenaan dalam kesimpulan yang diterima pakai pada sidang kemuncak di Brussels berkata, Majlis Eropah menggesa pengurangan ketegangan dan pengekangan maksimum, perlindungan orang awam dan infrastruktur awam dan pematuhan penuh terhadap undang-undang antarabangsa oleh semua pihak.
Difahamkan, pasaran tenaga dikejutkan oleh serangan Iran terhadap loji gas asli cecair terbesar dunia di Qatar dan kilang penapisan di Arab Saudi serta Kuwait, sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel ke atas medan gas South Pars milik Iran.
Dalam pada itu, pemimpin EU turut mengecam, sebarang tindakan yang mengancam pelayaran atau menghalang kapal daripada memasuki dan keluar dari Selat Hormuz.
Sekatan berkesan oleh Iran ke atas selat itu melumpuhkan perkapalan komersial melalui laluan maritim penting berkenaan yang pada waktu aman menyaksikan satu per lima minyak mentah global dan gas asli cecair dunia melalui kawasan itu.
Enam kuasa besar termasuk anggota EU iaitu Perancis, Jerman, Itali dan Belanda berkata, mereka bersedia untuk menyumbang kepada usaha yang sesuai bagi memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Susulan itu, EU yang terdiri daripada 27 negara turut berikrar, melindungi keselamatan dan kepentingannya daripada kesan permusuhan di Timur Tengah.
Usaha itu termasuk bekerja untuk menghalang berulangnya krisis migrasi 2015 yang didorong oleh perang saudara Syria.
“Walaupun konflik itu belum diterjemahkan kepada aliran migrasi segera ke arah EU, Majlis Eropah menekankan kepentingan untuk mengekalkan tahap kewaspadaan yang tinggi,” kata pemimpin itu.
EU juga bersedia, menggerakkan sepenuhnya alat diplomatik, perundangan, operasi dan kewangannya bagi menghalang pergerakan migrasi yang tidak terkawal ke EU serta memelihara keselamatan di Eropah.
Mereka turut menegaskan, keselamatan dan kawalan sempadan luar EU akan terus diperkukuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd






