July 19, 2024

Euro 2024: Sepanyol bersedia tundukkan Perancis

Euro 2024: Sepanyol bersedia tundukkan Perancis


PEMAIN pertahanan Sepanyol, Marc Cucurella berkata pasukan itu mendapat kelebihan selepas tidak dilabel sebagai pasukan pilihan sebelum Euro 2024.

Sepanyol tidak dianggap antara pasukan pilihan utama pada permulaan kejohanan, tetapi mereka kini tampil cemerlang selepas memenangi lima perlawanan berturut-turut dan menyingkirkan tuan rumah, Jerman di Stuttgart pada Sabtu.

Mereka kini sudah bersedia dan akan tampil dengan persembahan luar biasa ketika membuat perhitungan dengan naib juara Piala Dunia 2022, Perancis di pusingan separuh akhir pada Rabu.

“Dalam bola sepak, sudah lama ada rasa hormat kepada Sepanyol terutama cara kami bermain dan kualiti pemain yang kami ada. Tetapi di Euro kali ini mungkin kami bukan pasukan pilihan utama.

“Kami bermula dengan keyakinan tidak akan rugi apa-apa jika tersingkir. Namun, kini keyakinan itu telah berkembang dan kami berada dalam detik penting kejohanan.

“Saya tahu kami mempunyai pasukan yang hebat, yang telah terbukti. Kami telah berjuang gigih untuk berada di sini dan kini kami memerlukan satu usaha besar terakhir,” katanya.

Selepas menewaskan Croatia, Itali, Albania dan Georgia, juara Eropah tiga kali Sepanyol menghadapi ujian paling getir ketika menentang Jerman dan akhirnya menang 2-1 selepas masa tambahan.

Cucurella telah menjadi salah seorang pemain penting kejohanan untuk Sepanyol.

Tidak ramai yang menjangka dia akan menyertai skuad itu beberapa bulan lalu dan tidak pasti dia akan bermula lebih awal daripada Alejandro Grimaldo pada aksi pembukaan menentang Croatia.

“Mungkin, ya,” jawab pertahanan Chelsea itu apabila ditanya sama ada dia merasakan reputasinya telah meningkat.

“Apabila anda pergi ke luar negara (bermain untuk Chelsea) adalah sukar kerana orang tidak akan nampak anda. Biasalah, orang menonton bola sepak Sepanyol dan pasukan yang mereka sokong sejak mereka masih muda.

“Pujian itu semua dialu-alukan. Tidak kira sama ada ia tiba terlalu cepat atau lambat, lebih baik jika orang mengatakan perkara yang baik tentang anda,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top