July 27, 2024

Euro terakhir Modric

Euro terakhir Modric


Zagreb: Bintang tengah Croatia, Luka Modric yang menjadi tonggak di sebalik kejayaan bola sepak negara itu baru-baru ini, akan mengetuai skuad Croatia pada Euro 2024 dalam apa yang mungkin akan menjadi aksi terakhirnya di pentas antarabangsa.

Modric yang akan berusia 39 tahun pada September ini masih meneruskan merundingkan kontrak baharu dengan Real Madrid selepas memenangi Liga Juara-Juara keenam Sabtu lalu.

“Luka memperoleh status pemain bola sepak Croatia terbaik dalam sejarah suatu masa dahulu.

“Dengan gelaran Kejuaraan Eropah keenamnya, dia memasuki sejarah bola sepak sebagai salah seorang pemain terhebat era bola sepak ini,” kata ketua Persekutuan Bola Sepak Croatia (HNS) Marijan Kustic dalam satu kenyataan.

Modric membawa Croatia ke final Piala Dunia 2018 di Rusia dan tempat ketiga pada kejohanan 2022 di Qatar.

Pemain tengah itu juga memainkan peranan penting dalam membawa Croatia ke final Liga Negara-Negara tahun lalu di mana mereka tewas kepada Sepanyol.

Untuk Euro 2024, Modric akan kembali ke Jerman, di mana dia bermain dalam kejohanan besar pertamanya bersama pasukan kebangsaan di Piala Dunia pada 2006, hanya beberapa bulan selepas membuat penampilan sulungnya di Croatia.

Dia beraksi 174 perlawanan untuk Croatia dan menjaringkan 24 gol.

Modric sentiasa menjadi antara pemain yang disayangi kerana kekal merendah diri di tengah-tengah kejayaannya yang gemilang.

Pemain tengah itu membesar sebagai pelarian di Zadar di pantai Dalmatian semasa perang kemerdekaan 1990-an.

Selepas tamat pertempuran, Modric meninggalkan Zadar dan kemudian bermain untuk Dinamo Zagreb pada 2000 dan kemudian menyertai kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur pada 2008.

Pada 2012, Modric menandatangani kontrak dengan Real Madrid, di mana dia kekal bersama kelab itu sehingga kini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top