Saint Peray: Raja ujian masa, Remco Evenepoel memberi isyarat jelas di pentas keempat Criterium du Dauphine apabila memenangi perlumbaan sejauh 17.4 kilometer (km) itu dengan bergaya sekali gus merampas kedudukan teratas keseluruhan.
Pelumba berusia 25 tahun dari Belgium itu membuktikan statusnya sebagai juara Olimpik disiplin itu dan juara dunia dua kali apabila menewaskan barisan pencabar utama termasuk Jonas Vingegaard dan Tadej Pogacar.
Evenepoel menamatkan saingan dengan kelebihan 21 saat (s) mengatasi pelumba Denmark, Vingegaard di tempat kedua, manakala pelumba Amerika Syarikat Matteo Jorgenson di tempat ketiga, 17s kemudian.
Pogacar terlepas podium apabila berada 49s di belakang, lapan saat di depan pelumba Jerman Florian Lipowitz yang menduduki tangga kelima dan 13s mengatasi Mathieu van der Poel dari Belanda.
“Saya terkejut dengan jurangnya,” kata Evenepoel.
“Bagi ujian masa yang agak pendek, jaraknya besar. Saya gembira dapat cipta kelebihan lebih satu saat bagi setiap kilometer ke atas semua pelumba lain, malah dua saat bagi sesetengahnya.
“Saya rasa cukup baik dan ini kemenangan penting di peringkat World Tour.”
Kemenangan itu juga menjadikan Evenepoel pemegang jersi kuning pendahulu untuk edisi ke-77 perlumbaan berkenaan, yang akan ditentukan menerusi tiga peringkat pendakian di pergunungan Alps bermula Jumaat ini.
Ia juga mencatat sejarah sebagai kemenangan ke-1,000 buat pasukan Soudal Quick-Step sejak ditubuhkan pada 2003 oleh Patrick Lefevere di bawah nama Quick Step Davitamon.
“Saya amat berbangga kerana menjadi pelumba yang menyumbang kemenangan ke-1,000 ini kepada pasukan,” tambah Evenepoel.
Daripada tiga pelumba pilihan utama untuk gelaran keseluruhan, Pogacar kini berada di kedudukan paling sukar, menghuni tangga kelapan, 38 saat di belakang Evenepoel, manakala Vingegaard di tempat kelima, 16 saat ketinggalan.
Peringkat kelima bakal menguji peloton dengan laluan berbukit sejauh 183km dari Saint Priest ke Macon.
© New Straits Times Press (M) Bhd