Exco, Adun, penjawat awam Selangor potong gaji bantu mangsa kebakaran Putra Heights

Exco, Adun, penjawat awam Selangor potong gaji bantu mangsa kebakaran Putra Heights



nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Shah Alam: Semua Exco Selangor akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka untuk membantu mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, potongan gaji itu juga turut dilaksanakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan penjawat awam bergred 48 dan ke atas.

“Bagi menambah dan juga meningkatkan lagi solidariti, rakyat Selangor terutamanya dalam kalangan penjawat awam, pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan sumbangan.

“Berikutan itu semua Exco akan menyumbang RM1,000, sementara Adun akan memberikan sebanyak RM200, Ahli Majlis (RM100) dan penjawat awam yang bergred 48 dan ke atas akan menyumbang RM50 daripada gaji mereka.

“Secara keseluruhannya, anggota pentadbiran awam negeri akan menyumbang sebanyak anggaran RM102,050 yang disumbangkan kepada Tabung Prihatin,” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Annex, di sini hari ini.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran utama paip gas milik Petronas terbakar dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.

Sebanyak 437 kediaman di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dilaporkan terkesan akibat insiden itu, dengan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian dan 57 lagi terjejas akibat kebakaran tetapi struktur masih utuh.

Baki 218 rumah lagi sudah diperiksa dan didapati tidak terjejas dengan 151 rumah diisytiharkan selamat untuk didiami semula.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata sumbangan dalam tabung itu juga dapat menampung pembiayaan bagi proses pemulihan yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri.

“Kita sudah mula menerima komitmen daripada pelbagai pihak dan sekiranya dapat mengumpulkan satu dana yang signifikan, ia dapat membantu menampung keperluan tambahan atau keperluan sewa baik pulih.

“Ini semua akan kita lihat, kerana tabung ini atas permintaan sebenarnya daripada mereka yang ingin menyampaikan sumbangan wang terhadap mangsa secara langsung kepada kerajaan negeri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top