Exco didakwa pukul isteri, serah siasat kepada polis – Chow

Exco didakwa pukul isteri, serah siasat kepada polis – Chow


am@hmetro.com.my

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri itu yang ditahan semalam dipercayai kerana memukul isterinya sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata beliau sudah dihubungi Exco terbabit yang memohon maaf atas perkara yang berlaku dan menyatakan ia adalah satu masalah rumah tangga antara pasangan suami isteri.

“Difahamkan, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan saya difahamkan Yang Berhormat (Exco) pun memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menyiasat laporan ini.

“Terkini, saya dimaklumkan kedua-dua pihak tarik balik laporan masing-masing, jadi setakat ini, itu sahaja yang saya boleh nyatakan yang kalau ada apa-apa perkembangan kita berharap YB (Exco) sendiri akan sentiasa memberi maklum balas kepada kami (kerajaan negeri) atau parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan itu ketika menghadiri Majlis Tahlil dan Buka Puasa anjuran Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Exco terbabit perlu mengambil cuti bertugas atau sebaliknya, Chow berkata, kerajaan negeri memandang berat berkaitan isu yang berlaku, namun menyerahkan kepada polis melakukan siasatan terlebih dahulu.

“Saya rasa ini, polis pun sudah dapat kenyataan dan sebagainya, peringkat ini kita tunggu mereka fikirkan apakah tindakan seterusnya yang terbaik untuk keluarga mereka.

“Kalau kedua-dua suami isteri ada apa rancangan dan tindakan seterusnya kita menghormati proses itulah,” katanya.

Terdahulu, terdapat dakwaan yang tular di media sosial berkaitan seorang Exco Pulau Pinang ditahan polis selepas dipercayai memukul isterinya dalam kejadian di Pantai Jerejak, pada Ahad.

EXCO berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan pegawai polis pada jam 6 petang semalam, namun telah dibebaskan dengan jaminan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top