London: Peminat Formula Satu (F1) bakal biasa mendengar istilah Boost, Overtake, Active Aero dan Recharge bermula musim 2026, selepas sukan itu mengucapkan selamat tinggal kepada DRS (Drag Reduction System) yang selama ini memberi lonjakan kelajuan tambahan untuk memintas.
Sukan milik Liberty Media itu mengumumkan perubahan istilah baharu pada Rabu, seiring dengan bermulanya era enjin baharu serta apa yang digelar sebagai rombakan terbesar dalam sejarah peraturan teknikal F1.
Jentera F1 generasi baharu akan menjadi lebih nipis dan ringan, menggunakan tayar lebih sempit serta pembahagian kuasa 50/50 antara enjin pembakaran dalaman menggunakan bahan api lestari dan kuasa elektrik.
“Dalam generasi baharu ini, pemandu memiliki lebih banyak kuasa kawalan berbanding sebelum ini,” menurut kenyataan F1.
“Keputusan kritikal berkaitan penggunaan, penjanaan semula dan penjimatan tenaga meletakkan tanggungjawab lebih besar di bahu pemandu.
“Memahami bagaimana elemen taktikal baharu ini digunakan akan menjadi kunci untuk menghargai sepenuhnya kemahiran dan keupayaan perlumbaan mereka.”
F1 menjelaskan perubahan istilah ini dibuat bagi mengelakkan penggunaan ‘gimik dan jargon’, dengan senarai akhir dimuktamadkan selepas perbincangan bersama badan induk FIA, pasukan, jurutera serta peminat lama dan baharu.
OVERTAKE MODE menggantikan DRS sebagai alat strategik yang memberikan kuasa tambahan untuk memintas, dan hanya boleh digunakan apabila pemandu berada dalam jarak satu saat dari kereta di hadapan. Ia boleh digunakan sekali gus atau diagihkan sepanjang satu pusingan.
BOOST MODE pula ialah penggunaan tenaga yang dikawal pemandu, sama ada untuk menyerang atau bertahan bergantung kepada kedudukan di litar.
Mod ini membekalkan kuasa maksimum daripada enjin dan bateri di mana-mana bahagian litar dengan hanya menekan satu butang.
ACTIVE AERO merujuk kepada elemen sayap hadapan dan belakang yang boleh bergerak dengan mod Selekoh dan Lurus. Formula Satu berkata ciri ini membolehkan ‘kebolehsuaian strategik serta memaksimumkan penggunaan kuasa jentera melalui cengkaman lebih baik di litar’.
RECHARGE pula merangkumi semua peluang pemandu untuk mengecas semula bateri kereta menerusi ‘tenaga yang dijana semula ketika membrek, melepaskan pendikit di hujung laluan lurus, serta di selekoh yang hanya menggunakan kuasa separa’.
© New Straits Times Press (M) Bhd






