Fabio pintas Shilton

Fabio pintas Shilton


PENJAGA gol veteran Brazil, Fabio Deivson Lopes Maciel, melakar sejarah bola sepak dunia apabila mencatat penampilan ke-1,391, sekali gus memecahkan rekod milik bekas bintang England, Peter Shilton, sebagai pemain dengan penampilan kompetitif terbanyak dalam sejarah.

Rekod itu dicapai ketika Fabio, 44, membantu Fluminense menewaskan America de Cali 2-0 dalam aksi pusingan 16 Copa Sudamericana di Stadium Maracana.

Debut profesional Fabio bermula sejak 1997 dan sepanjang 28 tahun kariernya beliau hanya beraksi di Brazil, bersama Uniao Bandeirante, Atletico Paranaense, Vasco da Gama, Cruzeiro serta Fluminense.

Majoriti penampilannya tercatat bersama Cruzeiro, iaitu 976 perlawanan antara 2005 hingga 2022, selain 150 untuk Vasco da Gama dan 30 bersama Uniao Bandeirante.

Di Fluminense, perlawanan bersejarah itu merupakan penampilan ke-235 Fabio.

Menurut Guinness World Records, Shilton sebelum ini merekodkan 1,390 penampilan, namun masih terdapat perdebatan mengenai jumlah sebenar dengan angka rasmi lain menyebut 1,387 perlawanan.

Bagaimana pun, Fluminense mengiktiraf Fabio sebagai pemegang rekod baharu selepas melepasi angka itu.

Fabio yang tidak pernah menyarung jersi skuad senior Brazil, tetap meninggalkan jejak besar apabila merekodkan 507 ‘clean sheet’ sepanjang kariernya, memadam pencapaian legenda Itali, Gianluigi Buffon di pentas Piala Dunia Kelab tahun lalu.

Sejak menyertai Fluminense pada 2022, Fabio turut menjulang Copa Libertadores 2023 selepas menewaskan Boca Juniors dan tampil dalam kesemua enam perlawanan di Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat.

“Saya berterima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian hidup saya, keluarga, rakan dan isteri. Yang paling penting, saya hanya mahu membantu rakan sepasukan. Tanpa Tuhan, tiada apa yang mungkin,” kata Fabio.

Fluminense mengekalkan Fabio dengan kontrak sehingga Disember 2026, menyaksikan penjaga gol berpengalaman itu bakal terus beraksi sehingga berusia 46 tahun.

INFO

Hasil data CIES Football Observatory mendapati Fabio bermain 5,850 minit sepanjang 12 bulan terakhir (Julai 2024 – Julai 2025), bersamaan purata 65 perlawanan setahun, menjadikannya penjaga gol paling banyak beraksi dalam tempoh setahun.



Source link

OR

Scroll to Top