Facundo Garces masih selamat

Facundo Garces masih selamat


DEPORTIVO Alaves tidak akan terburu-buru membuat keputusan berhubung masa depan pertahanan mereka, Facundo Garces yang juga pemain warisan Harimau Malaya selepas dikenakan hukuman penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden kelab, Alfonso Fernandez menegaskan bahawa pihaknya akan terus memberikan ruang kepada pemain berusia 25 tahun itu untuk melalui proses undang-undang bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

Menurut Fernandez, pihak kelab menghormati prinsip andaian tidak bersalah dan menyerahkan sepenuhnya kepada tindakan selanjutnya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Pada akhirnya, ini adalah perkara yang berada di luar kawalan kelab dan ia merupakan isu peribadi miliknya. Namun, sudah tentu ia memberi kesan kepada kami kerana kami tidak dapat menurunkannya.

“Kes ini masih terbuka dan buat masa ini tiada apa-apa yang berubah bagi pihak kami. Selagi belum ada keputusan muktamad, beliau masih mempunyai hak untuk membuat rayuan.

“Kami tetap percaya kepada pemain itu dan kepada prinsip andaian tidak bersalahnya. Kita akan lihat bagaimana perkembangan seterusnya dan menunggu keputusan akhir,” katanya.

Terdahulu, FIFA telah menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.

Dalam keputusan yang diumumkan baru-baru ini, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Selain Garces, enam lagi pemain yang terlibat ialah Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

FAM sedang meneliti langkah terbaik termasuk kemungkinan membawa kes tersebut ke CAS bagi memastikan keadilan berpihak kepada semua pemain yang terlibat.

Sebelum ini, dilaporkan Gabriel Palmero menjadi pemain warisan pertama yang ditamatkan kontrak oleh kelabnya, CD Tenerife selepas hukuman FIFA tersebut.

Ringkasan AI

  • DEPORTIVO Alaves tidak akan terburu-buru membuat keputusan mengenai masa depan Facundo Garces berikutan hukuman penggantungan oleh FIFA
  • Presiden Alaves, Alfonso Fernandez menyatakan kelab akan memberi ruang kepada Garces untuk membuktikan dirinya tidak bersalah melalui proses undang-undang
  • Kelab menghormati prinsip andaian tidak bersalah dan menantikan keputusan dari Mahkamah Timbang Tara Sukan
  • FIFA mengekalkan hukuman denda dan penggantungan terhadap FAM dan tujuh pemain atas kesalahan pemalsuan dokumen
  • FAM mempertimbangkan langkah hukum selanjutnya termasuk membawa kes ke CAS bagi mendapatkan keadilan bagi pemain yang terlibat



Source link

OR

Scroll to Top