September 8, 2024

Fadhli sifatkan Aiman Athirah melalut kaitkan arak dengan babi

Fadhli sifatkan Aiman Athirah melalut kaitkan arak dengan babi


KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu disifatkan sebagai melalut apabila mengaitkan sumbangan syarikat arak kepada sekolah dengan babi.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata, Aiman Athirah seharusnya menamatkan isu sumbangan kepada sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina itu dengan permohonan maaf.

“Saya rasa yang paling baik ialah Timbalan Menteri nyatakan bahawa ‘saya minta maaf, saya tak perasan ada promosi dari syarikat arak Tiger dalam majlis itu’, selesai.

“Ni dah melalut sampai isu tangan makan babi. Orang persoalkan garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), menteri pun dah keluarkan kenyataan tiada pengecualian. Apa pula kaitan dengan tangan makan babi ni?” soal beliau.

Ketua Penerangan Pas itu mengulas kenyataan Aiman Athirah yang menyifatkan Pas hipokrit kerana mengkritiknya menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat arak.

Aiman Athirah membidas, pemimpin Pas sebelum ini tidak pula mempunyai masalah bersalam dengan orang bukan Islam yang sedang minum arak atau makan babi.

Ahmad Fadhli berkata, tidak ada sebarang hukum dalam Islam yang menghalang seorang muslim bersalam dengan orang yang memakan daging babi.

“Untuk makluman, tiada masalah bersalam dengan tangan makan babi, tiada hukum yang kata tak boleh, bersalamlah asalkan bukan berlainan jantina yang bukan mahram.

“Tangan makan rasuah, tangan langgar janji dengan rakyat, tangan tipu rakyat lebih hina dari tangan makan babi.

“Adakah sebenarnya Yang Berhormat Timbalan Menteri bertujuan menghina kawan-kawan kita kaum Tionghua? Sekadar bertanya. Sekian,” soal beliau dalam perkongsian di media sosial.

Sebuah portal melaporkan, Aiman Atirah yang juga Ketua Wanita Amanah menimbulkan isu itu dalam wawancara bersama Naib Ketua Pemuda Amanah Zulhazmi Hassan yang juga YouTuber dikenali sebagai Jeming.

“Masa kempen itu, dia kalau orang tengah minum arak pun tak apa. Makan babi pun tak apa.  Baru lepas makan babi salam pun tak apa. Hipokrit,” kata Ahli Parlimen Sepang tersebut.

Ahad lalu, acara anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang terpalit kontroversi selepas Tiger Beer menjadi salah satu penajanya.

Aiman Atirah, bersama exco kerajaan tempatan Selangor Ng Suee Lim merasmikan acara itu. Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu Lwi Kian Keong.

Beliau berkata, dia hadir sebagai tanda sokongan kepada sekolah, bukan arak.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top