Fadilat pergi ke masjid hari Jumaat

Fadilat pergi ke masjid hari Jumaat


– Advertisement –

Hadis Musnad Imam Syafie
Terjemahan Dan Ringkasan Serta Sedikit Keterangan

Berkata Imam Syafie r.a.:

بَابُ: الْمَشْيِ إِلَى الْجُمُعَةِ وَفَضِيلَةِ الْغُسْلِ وَالتَّبْكِيرِ بِالرَّوَاحِ

Bab berjalan kepada solat Jumaat dan kelebihan mandi dan segera berangkat

– Advertisement –

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abdurrahman bin Jabir bin Atiq daripada datuknya Jabir bin Atiq r.a. sahabat Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

إِذَا خَرَجْتَ إِلَى الْجُمُعَةِ فَامْشِ عَلَى هِينَتِكَ

Ertinya: “Apabila kamu keluar pergi kepada solat jumaat maka berjalanlah atas tenangmu.”

Hadis ini ada dikeluarkan juga oleh Imam Al-Baihaqi dalam Ma’rifah As-Sunan.

Dan daripada Abu Hurairah r.a.: Sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غُسْلَ الْجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ الْمَلائِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

Ertinya: “Barangsiapa mandi pada hari Jumaat sebagai mandi janabah kemudian berangkat maka seolahnya bersedekah seekor unta. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang kedua maka seolahnya bersedekah seekor lembu. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang ketiga maka seolahnya bersedekah seekor kibasy yang bertanduk. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang keempat maka seolahnya bersedekah seekor ayam. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang kelima maka seolahnya bersedekah sebiji telor. Kemudian apabila imam telah keluar maka malaikat pun hadir mendengar mereka itu akan zikir.”

Hadis semisal dengannya ada dikeluarkan juga oleh Imam Bukhari dan Muslim dan Abu Daud dan At-Tirmizi dan An-Nasaie dan lainnya.

Keterangan

Hadis-hadis ini datang pada menerangkan kelebihan berangkat menunju ke masjid pada hari Jumaat kerana menunaikan solat jumaat dan ada malaikat yang bertugas mencatat kedatangan manusia ke masjid.

Berjalan tenang ke masjid

Imam Syafie meriwayatkan hadith Jabir bin Atiq r.a. adalah Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

إِذَا خَرَجْتَ إِلَى الْجُمُعَةِ فَامْشِ عَلَى هِينَتِكَ

Ertinya: “Apabila kamu keluar pergi kepada solat jumaat maka berjalanlah atas tenangmu.”

Hadis ini menunjukkan ketika berjalan menuju ke masjid pada hari Jumaat disunatkan berjalan dengan tenang yakni dengan perlahan tidak tergesa-gesa.

Berkata Imam Ibnu Al-Atsir:

قال الشافعي : وإذا مشى الجمعة فلا يزيد على سجيته ومشيته، ولأن ذلك أكثر لخطاه التي يتضاعف بها أجره وأعون له على التوجه إليها. قال الربيع : قلت للشافعي : نحن نكره الإسراع إلى لمسجد إذا أقيمت الصلاة. قال : فإن كنتم إنما كرهتموه لقول النبي صلى الله عليه وسلم : إذا أتيتم الصَّلاَةَ فَلاَ تأْتُوهَا تَسْعَوْنَ وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ فَمَا أَدْرَكتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتكُمْ فَاقْضُوا

Ertinya: “Berkata Imam Syafie : Dan apabila berjalan seorang itu kepada solat jumaat maka janganlah dia lebihkan berjalan daripada biasanya dan langkahnya kerana sungguhnya yang demikian itu jadi banyak langkahnya yang jadi berganda pahalanya dengan sebabnya dan lebih menolong baginya atas berhadap kepadanya. Telah berkata Ar-Rabi’ : Aku telah berkata bagi Imam Syafie : Kami tidak suka bersegera kepada masjid apabila telah diiqamahkan solat. Kata beliau : Maka sungguhnya kamu sekelian hanya sungguhnya tidak suka kepada bersegera ialah kerana sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam : Apabila kamu semua mendatangi tempat solat maka jangan kamu datanginya terburu-buru. Datangilah ia dalam keadaan berjalan kamu sekelian atas ketenangan. Maka apa yang sempat bagi kamu maka solatlah dan apa yang tidak sempat maka kamu qadhalah.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad As-Syafie)

Dan yang dimaskdukan dengan tenang itu ialah berjalan tanpa terkejar-kejar atau terburu-buru.

Berkata Ibnu Abd Al-Barri:

وَالسَّكِينَةِ وَتَرْكِ السَّعْيِ وَتَقْرِيبِ الْخُطَا لِأَمْرِ النَّبِيِّ عَلَيْهِ السَّلَامُ بِذَلِكَ

وقد روى بن عُيَيْنَةَ عَنْ حُصَيْنٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زَيْدٍ قال كان بن عُمَرَ إِذَا مَشَى إِلَى الصَّلَاةِ لَوْ مَشَتْ مَعَهُ نَمْلَةٌ مَا سَبَقَهَا

Ertinya: “Dan arti tenang itu ialah meninggalkan terburu-buru dan memendekkan langkahan kerana perintah Nabi sollallahu alaihi wasallam dengan yang demikian itu. Dan sungguh telah meriwayatkan oleh Ibnu ‘Uyainah daripada Husain dari Muhammad bin Zaid beliau berkata : Adalah Ibnu Umar r.a. apabila berjalan kepada tempat solat andainya berjalan sertanya oleh semut maka tidaklah beliau dapat mendahulinya.” (Kitab Al-Istizkar)

Dan sebahagian ulamak berkata jika masa sudah sempit maka tidak mengapa seorang itu bersegera dan mencepatkan langkahannya menuju ke masjid.

Berkata Imam Ar-Rafie:

والأثر يدل على أن من أتى الجمعة يمشي إليها، ويكون مشيه في تؤدة وسكون ما لم يضيق الوقت

Ertinya: “Dan atsar ini menjadi dalil atas bahawasanya barangsiapa mendatangi akan jumaat hendaklah dengan berjalan kaki kepadanya. Dan adalah berjalannya itu di dalam perlahan dan tenang selama tidak sempit oleh waktu.” (Kitab Syarah Musnad As-Syafie)

Dan jika seorang itu berjalan cepat juga ke masjid tidak dengan perlahan maka tidaklah dia melakukan kesalahan.

Berkata Ibnu Abd Al-Barri:

وَسُئِلَ مَالِكٌ عَنِ الرَّجُلِ يَخْرُجُ إِلَى الْحَرَسِ فَيَسْمَعُ مُؤَذِّنَ الْمَغْرِبِ فِي الْحَرَسِ فَيُحَرِّكُ فَرَسَهُ لِيُدْرِكَ الصَّلَاةَ قَالَ مَالِكٌ لَا أَرَى بِذَلِكَ بَأْسًا. قَالَ إِسْحَاقُ بْنُ رَاهَوَيْهِ إِذَا خَافَ فَوْتَ التَّكْبِيرَةِ الْأُولَى فَلَا بَأْسَ أَنْ يَسْعَى

Ertinya: “Dan telah disoal akan Imam Malik dari hal seorang lelaki yang keluar menemui seseorang kemudian dia mendengar muazzin azan maghrib lalu dia cepatkan kudanya supaya mendapat dia akan solat. Berkata Malik : Tidak aku dapat yang demikian itu satu kesalahan. Telah berkata Ishaq bin Rahawaih : Apabil takut luput takbir yang pertama maka tidak mengapa dia bersegera.” (Kitab Al-Istizkar)

Ganjaran pergi awal ke masjid

Kemudian pada hadis Abu Hurairah r.a. berliau berkata : Sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wsallam bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غُسْلَ الْجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ الْمَلائِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

Ertinya: “Barangsiapa mandi pada hari jumaat sebagai mandi janabah kemudian berangkat maka seolahnya bersedekah seekor unta. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang kedua maka seolahnya bersedekah seekor lembu. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang ketiga maka seolahnya bersedekah seekor kibasy yang bertanduk. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang keempat maka seolahnya bersedekah seekor ayam. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang kelima maka seolahnya bersedekah sebiji telor. Kemudian apabila imam telah keluar maka malaikat pun hadir mendengar mereka itu akan zikir.”

Imam Syafie r.a. meriwayatkan sebuah lagi hadis yang semakna dengannya daripda Abu Hurairah r.a. beliau berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ كَانَ عَلَى كُلِّ بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ مَلائِكَةٌ يَكْتُبُونَ النَّاسَ عَلَى مَنَازِلِهِمُ الأَوَّلَ فَالأَوَّلَ، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ طُوِيَتِ الصُّحُفُ وَاسْتَمَعُوا الْخُطْبَةَ وَالْمُهَجِّرُ إِلَى الصَّلاةِ كَالْمُهْدِي بَدَنَةً، ثُمَّ الَّذِي يَلِيهِ كَالْمُهْدِي بَقَرَةً، ثُمَّ الَّذِي يَلِيهِ كَالْمُهْدِي كَبْشًا، حَتَّى ذَكَرَ الدَّجَاجَةَ وَالْبَيْضَةَ

Ertinya: “Telah bersabda oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam : Apabila hari jumaat ada atas setiap pintu dari pintu-pintu masjid malaikat yang mencatat mereka itu akan manusia atas segala rumah mereka yang awal dan kemudian yang awal. Maka apabila imam telah keluar maka dilipat akan buku tempat mencatat itu dan mendengar mereka itu akan khutbah. Dan orang yang bersegera kepada tempat solat seperti yang bersedekah seekor unta. Kemudian yang mengiringinya seperti bersedekah seekor lembu. Kemudian yang mengiringinya seperti bersedekah seekor kibasy sehinggalah menyebut akan seekor ayam dan telur.” (Hadith ini ada dikeluarkan juga oleh Imam Ahmad dan An-Nasaie dan Ibnu Majah dan lainnya.)

Kedua hadis ini dan hadith lainnya menjadi dalil atas bahawa yang afdhal ialah pergi awal ke masjid pada hari Jumaat.

Berkata Imam Syafie r.a.:

وَأُحِبُّ لِكُلِّ مَنْ وَجَبَتْ عَلَيْهِ الْجُمُعَةُ أَنْ يُبَكِّرَ إلَى الْجُمُعَةِ جَهْدَهُ فَكُلَّمَا قَدَّمَ التَّبْكِيرَ كَانَ أَفْضَلَ مَا جَاءَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؛ وَلِأَنَّ الْعِلْمَ يُحِيطُ أَنَّ مَنْ زَادَ فِي التَّقَرُّبِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى كَانَ أَفْضَلَ

Ertinya: “Dan aku sunatkan bagi setiap mereka yang wajib atasnya jumaat bahawa awal dia pergi kepada solat jumaat semampunya. Maka setiap kali lebih awal maka adalah ia lebih afdhal kerana barang yang datang daripada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam dan kerana bahawasanya ilmu itu telah tetap siapa yang lebihkan pada mendekatkan diri kepada Allah Taala adalah ia lebih afdhal.” (Kitab Al-Umm)

Maksud mandi janabah

Sabda Nabi solllallahu alaihi wasallam:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غُسْلَ الْجَنَابَةِ

Ertinya: “Barangsiapa mandi pada hari Jumaat akan sebagai mandi janabah…”

Maksudnya ialah mandi yang seperti mandi mengangkat hadas iaitu meratakan air sekalian badannya dan melakukan sekalian sunat-sunatnya sama serupa seperti mandi janabah.

Berkata Imam As-Syaukani:

قَوْلُهُ: (مَنْ اغْتَسَلَ) يَعُمّ كُلّ مَنْ يَصِحّ مِنْهُ الْغُسْل مِنْ ذَكَر وَأُنْثَى وَحُرّ وَعَبْد. قَوْلُهُ: (غُسْلَ الْجَنَابَة) بِالنَّصْبِ عَلَى أَنَّهُ نَعْت لِمَصْدَرٍ مَحْذُوف: أَيْ غُسْلًا كَغُسْلِ الْجَنَابَة

Ertinya: “Sabdanya (barangsiapa mandi) itu mengcakupi sekalian mereka yang sah melakukan mandi daripada lelaki dan perempuan dan orang merdeka serta hamba sahaya. Dan sabdanya (akan sebagai mandi janabah) itu ertinya mandi yang sama seperti mandi janabah.” (Kitab Nail Al-Authar)

Kata Ibnu Al-Mulaqqin:

والمراد: غسلًا كغسل الجنابة في صفاته

Ertinya: “Dan yang dikehendaki ialah mandi yang seperti mandi janabah pada sekalian sifatnya.” (Kitab At-Taudhih)

Dan sebahagain fuqahak berkata maksud mandi janabah pada hadis ini ialah mandi hadas sebenar dan ialah pendapat yang daif.

Berkata Imam Nawawi:

مَعْنَاهُ غُسْلًا كَغُسْلِ الْجَنَابَةِ فِي الصِّفَاتِ هَذَا هُوَ الْمَشْهُورُ فِي تَفْسِيرِهِ وَقَالَ بَعْضُ أَصْحَابِنَا فِي كُتُبِ الْفِقْهِ الْمُرَادُ غُسْلُ الْجَنَابَةِ حَقِيقَةً قَالُوا وَيُسْتَحَبُّ لَهُ مُوَاقَعَةُ زَوْجَتِهِ لِيَكُونَ أَغَضَّ لِلْبَصَرِ وَأَسْكَنَ لِنَفْسِهِ وَهَذَا ضَعِيفٌ

Ertinya: “Maknanya mandi yang sama seperti mandi janabah pada sekalian sifatnya. Inilah pendapat yang masyhur pada penafsirannya. Dan sebahagian Ashab berkata pada kitab-kitab fiqh yang dikehendaki ialah mandi janabah yang sebenar. Berkata mereka itu disunatkan baginya bersama dengan isterinya supaya jadilah ia memejamkan bagi pandangan dan menetapkan bagi hatinya. Dan pendapat ini adalah daif.” (Kitab Syarah Muslim)

Maksud berangkat awal

Kemudian Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

ثُمَّ رَاحَ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً

Ertinya: “Kemudian berangkat maka seolahnya bersedekah seekor unta. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang kedua maka seolahnya bersedekah seekor lembu. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang ketiga maka seolahnya bersedekah seekor kibasy yang bertanduk. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang keempat maka seolahnya bersedekah seekor ayam. Dan barangsiapa berangkat pada saat yang kelima maka seolahnya bersedekah sebiji telor..”

Pada hadis ini menunjukkan orang yang berangkat paling awal akan mendapat ganjaran pahala yang lebih besar dari yang berangkat selepasnya dan yang berangkat paling akhir mendapat ganjaran yang paling sedikit.

Fuqahak berbeza pendapat tentang waktu manakah yang dimaksudkan berangkat awal ke masjid untuk solat Jumaat itu.

Ada tiga pendapat pada waktu yang dimaksudkan dengan awal berangkat itu iaitu dari terbit fajar dan dari terbit matahari dan dari waktu zawal.

Berkata Imam As-Syairazi:

وتعتبر الساعات من حين طلوع الفجر لانه أول اليوم وبه يتعلق جواز الغسل ومن أصحابنا من قال يعتبر من طلوع الشمس

Ertinya: “Dan diperkirakan segala waktu itu ialah ketika terbit fajar kerana sungguhnya ialah awal hari dan dengannya berkait harusnya mandi dan setengah dari Ashab kami mereka yang berkata diperkirakan dari terbit matahari.” (Kitab Al-Muhazzab)

Berkata Imam Nawawi:

وَفِيمَا يُعْتَبَرُ مِنْهُ السَّاعَاتُ ثَلَاثَةُ أَوْجُهٍ (الصَّحِيحُ) عِنْدَ الْمُصَنِّفِ وَالْأَكْثَرِينَ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ (وَالثَّانِي) مِنْ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَبِهِ قَطَعَ الْمُصَنِّفُ فِي التَّنْبِيهِ وَيُنْكَرُ عَلَيْهِ الْجَزْمُ بِهِ (وَالثَّالِثُ) أَنَّ السَّاعَاتِ هُنَا لَحَظَاتٌ لَطِيفَةٌ بَعْدَ الزَّوَالِ وَاخْتَارَهُ الْقَاضِي حُسَيْنٌ وَإِمَامُ الْحَرَمَيْنِ وَغَيْرُهُمَا مِنْ الْخُرَاسَانِيِّينَ

Ertinya: “Dan pada barang yang diiktibarkan daripadanya segala waktu itu ada tiga pendapat. Pendapat yang sahih di sisi pengarang yaitu Imam As-Syairazi dan kebanyakkan fuqahak ialah dari terbit fajar. Pendapat yang kedua dari terbit matahari. Dan dengannya memutuskan oleh pengarang pada kitab An-Tanbih dan diingkarkan atasnya oleh memutuskan dengannya. Pendapat yang ketiga sungguhnya segala waktu itu di sini ialah beberapa ketika sahaja selepas zawal. Dan telah memilihnya oleh Al-Qadhi Husain dan Imam Al-Haramain dan lain dari keduanya dan fuqahak negeri khurasan.” (Kitab Al-Majmuk)

Berkata Imam Ibnu Al-Atsir:

ذهب مالك بن أنس: إلى أن الساعات التي ذكرت في الحديث إنما هي أجزاء من الزمان قليلة، أولها بعد الزوال وإلى وقت جلوس الإِمام على المنبر وليست الساعات الحقيقية. وقيل : إنما أراد بالرواح الذهاب إلى الصلاة من طلوع الشمس فما بعدها إلى وقت الزوال وقد اختلف قول أصحاب الشافعي في وقت التبكير والتهجير. فقال قوم منهم : هو من وقت طلوع الشمس. وقال آخرون منهم: من وقت طلوع الفجر

Ertinya: “Telah berpendapat oleh Imam Malik bin Anas kepada sungguhnya segala waktu yang disebut dalam hadith ini ialah waktu yang sedikit yang awalnya ialah ketika zawal yaitu condong matahari ke arah tengelam dan sehingga kepada waktu duduk imam di atas mimbar dan bukanlah waktu-waktu itu waktu yang sebenar. Dan kata setengah ulamak : Hanyalah dikehendaki dengan berangkat itu ialah pergi kepada tempat solat dari masa terbit matahari dan barang yang selepasnya sehingga waktu zawal. Dan sungguh telah berkhilaf oleh pendapat Ashab Syafie pada pergi awal dan segera bertolak. Maka berkata satu kaum dari mereka itu : Ialah dari waktu terbitnya matahari. Dan berkata yang lainnya dari mereka itu : Dari waktu terbitnya fajar.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad As-Syafie)

Kesimpulannya hadis ini menjadi dalil dianjurkan pergi ke masjid pada hari Jumaat dengan berjalan kaki dan pergi awal ke masjid selepas melakukan mandi.

Berkata Imam Syafie r.a.:

وَلَا تُؤْتَى الْجُمُعَةُ إلَّا مَاشِيًا كَمَا تُؤْتَى سَائِرُ الصَّلَوَاتِ

Ertinya: “Dan jangan kamu pergi akan Jumaat melainkan berjalan kaki seperti mana pergi pada solat-solat yang lain.” (Kitab Al-Umm)

Dan tetapi jika naik kenderaan kerana keperluan maka tidaklah menjadi kesalahan.

Diriwayatkan daripada Aus bin Aus r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَغَسَلَ، وَغَدَا وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ

Ertinya: “Barangsiapa bersihkan diri serta mandi pada hari Jumaat dan berangkat awal ke masjid dan berjalan kaki dan tidak naik kenderaan..” (Hadis riwayat An-Nasaie)

Berkata Syeikh Al-Mubarakfuri:

قال الحافظ: في هذا الحديث الحض على الإغتسال يوم الجمعة وفضله وفضل التبكير إليها، وأن الفضل المذكور إنما يحصل لمن جمعهما

Ertinya: “Berkata Al-Hafiz : Pada ini hadith menggalakkan atas melakukan mandi pada hari jumaat dan kelebihannya dan kelebihan pergi awal kepadanya dan yang paling afdhal kelebihan tersebut dicapai dengan menghimpunkan keduanya.” (Kitab Mir’atul Mafatih)

Malaikat mencatat kehadiran

Pada penghujung hadith ini Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ الْمَلائِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

Ertinya: “Maka apabila telah keluar oleh imam maka datanglah malaikat mendengar mereka itu akan khutbah.”

Dan pada satu riwayat Imam Bukhari:

فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ طَوَوْا صُحُفَهُمْ، وَيَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

Ertinya: “Maka apabila telah keluar oleh imam maka malaikat pun melipat akan kertas catatan mereka dan mendengar mereka itu akan khutbah.”

Dan perkataan الذِّكْرَ pada hadis-hadis dalam bab ini bermakna khutbah.

Sabit pada riwayat An-Nasaie:

فَإِذَا خَرَجَ الْإِمَامُ طُوِيَتِ الصُّحُفُ، وَاسْتَمَعُوا الْخُطْبَةَ

Ertinya: “Maka apabila telah keluar oleh imam maka ditutup oleh malaikat akan kertas catatan dan mendengar oleh malaikat itu akan khutbah.”

Maksud hadis ini ialah ada sebahagian malaikat datang ke masjid pada hari Jumaat untuk menulis nama-nama mereka yang datang awal kerana siapa datang paling awal akan mendapat ganjaran yang paling banyak dan apabila imam telah naik ke atas mimbar kerana membaca khutbah maka sekelian malaikat tersebut akan menutup buku catatan nama yang hadir awal itu kerana mereka hendak mendengar akan khutbah yang disampaikan oleh imam.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

إِذَا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، كَانَ عَلَى كُلِّ بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ مَلَائِكَةٌ، يَكْتُبُونَ الْأَوَّلَ فَالْأَوَّلَ، فَإِذَا خَرَجَ الْإِمَامُ، طُوِيَتِ الصُّحُفُ

Ertinya: “Apabila adalah hari jumaat maka adalah atas tiap-tiap pintu dari pintu-pintu masjid malaikat yang menulis mereka itu akan orang yang datang awal kemudian yang selepasnya. Maka apabila imam telah keluar maka ditutup akan buku catatan itu.”

Dan pada riwayat Ibnu Khuzaimah Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

تُبْعَثُ الْمَلَائِكَةُ عَلَى أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ يَكْتُبُونَ مَجِيءَ النَّاسِ , فَإِذَا خَرَجَ الْإِمَامُ طُوِيَتِ الصُّحُفُ , وَرُفِعَتِ الْأَقْلَامُ , فَتَقُولُ الْمَلَائِكَةُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: مَا حَبَسَ فُلَانًا؟ فَتَقُولُ الْمَلَائِكَةُ: اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ ضَالًّا فَاهْدِهِ , وَإِنْ كَانَ مَرِيضًا فَاشْفِهِ , وَإِنْ كَانَ عَائِلًا فَأغْنِهِ

Ertinya: “Akan diutuskan malaikat atas tiap-tiap pintu masjid pada hari jumaat menulis mereka itu akan kedatangan manusia. Maka apabila imam telah keluar maka ditutup akan bukuk catatan dan diangkat akan qalam. Kemudian berkata malaikat sebahagian mereka bagi sebahagian yang lain : Apa yang menahan sifulan? Maka berkata malaikat : Ya Allah jika dia sesat maka tunjukilah dia. Dan jika dia sakit maka sembuhkanlah dia. Dan jika dia miskin maka kayakanlah dia.”

Pada hadis-hadis ini menunjukkan malaikat berhenti menulis orang yang datang apabila imam telah keluar yakni imam telah masuk ke dalam masjid untuk membaca khutbah.

Tetapi ada setengah riwayat menyebut apabila imam telah duduk di atas mimbar seperti riwayat Imam Ahmad:

فَإِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ طَوَوُا الصُّحُفَ، وَجَاءُوا فَاسْتَمَعُوا الذِّكْرَ

Ertinya: “Maka apabila telah duduk imam lalu ditutup akan buku catatan dan datang malaikat mendengar mereka itu akan khutbah.”

Berkata ulamak digabungkan kedua hadis itu dengan maksud malaikat mula menutup buku catatan amal itu dari masa masuknya imam ke dalam masjid sehingga duduk ia di atas mimbar.

Berkata Al-Hafiz Al-Asqallani:

وَكَأَنَّ ابْتِدَاءَ طَيِّ الصُّحُفِ عِنْدَ ابْتِدَاءِ خُرُوج الإِمَام وانتهاءه بِجُلُوسِهِ عَلَى الْمِنْبَرِ

Ertinya: “Dan adalah permulaan tutup buku catatan amal itu ialah ketika permulaan keluarnya imam dan selesainya dengan duduknya di atas mimbar.” (Kitab Fathu Al-Bari)

Bermula malaikat yang meninggalkan pintu masjid kerana masuk ke dalam masjid mendengar khutbah itu ialah malaikat yang ditugaskan mencatat nama manusia yang datang awal pada hari Jumaat bukannya semua malaikat.

Apabila malaikat pencatat datang awal telah masuk maka orang yang datang kemudian daripada itu tidak lagi mendapat kelebihan datang awal tetapi tetap mendapat pahala mendengar khutbah jika dia mendengarnya dan pahala solat Jumaat dan lainnya. Wallahua’lam – HARAKAHDAILY 4/10/2024

Rencana ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus.

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top