Roy King (kanan) dan Wan Arif menampilkan permainan bertenaga untuk menjinakkan Sabar–Reza dalam perlawanan akhir Terbuka Macau Super 300 pada Ahad. Foto Agensi
PENGARAH kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky menyifatkan kejayaan Wan Arif Wan Junaidi–Yap Roy King menjuarai Terbuka Macau Super 300 sebagai bukti kematangan dan kesungguhan pasangan muda itu menterjemahkan falsafah latihan dengan cemerlang.
Menurut Rexy, Wan Arif–Roy King yang sebelum ini bergelut untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi, kini mula menunjukkan hasil positif selepas melalui proses pemahaman dan penyesuaian secara konsisten.
“Pada awalnya mereka sukar untuk faham pendekatan coach Herry. Tapi mereka sangat tekun, selalu berbincang dan akhirnya faham dengan jelas apa yang perlu dibuat.
“Kini, hasilnya sudah mulai kelihatan. Mereka bukan saja faham falsafah latihan tapi sudah mula membuktikannya dengan keputusan yang baik,” kata Rexy kepada Sukan Sinar.
Tambah Rexy, kejayaan di Macau ini bukan sahaja menamatkan kemarau kejuaraan buat mereka, tetapi juga hadir tepat pada masanya menjelang Kejohanan Dunia di Paris, Perancis.
“Saya harap kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk mereka membawa keyakinan yang sama ke Kejohanan Dunia,” katanya.
Dalam aksi final di Macao East Asian Games Dome, Cotai pada Ahad, Wan Arif–Roy King menampilkan permainan bertenaga untuk menewaskan pilihan utama dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam pertarungan sengit selama 80 minit.
Pasangan negara yang merupakan pilihan keempat bermula garang apabila memenangi set pertama 22-20 sebelum Sabar–Reza bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-14 pada set kedua.
Namun, ketenangan dan kematangan permainan Wan Arif–Roy King yang kini menghuni ranking ke-24 dunia menjadi pemisah, apabila mereka kembali mendominasi set penentuan untuk menang 21-18 seterusnya menamatkan penantian kejuaraan.
Sebelum mara ke final, Wan Arif–Roy King mengetepikan cabaran rakan senegara, Choong Hon Jian–Muhammad Haikal Nazri, 21-13, 21-15 dalam masa 34 minit, manakala Sabar–Reza menewaskan pasangan Taiwan, Lee Fang Chih–Lee Fang Jen, 21-19, 21-17.