Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan seluruh keluarga atas pemergian abangnya wartawan hiburan Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih dikenali sebagai Huzz, 58, yang meninggal dunia hari ini.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata beliau turut berdukacita dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Allahyarham cukup terkenal pada era 80-an dan 90-an. Penulisannya sentiasa dinantikan peminat industri hiburan,” katanya.
Terdahulu, Nur-ul Afida ketika dihubungi mengesahkan pemergian Huzz di kediaman abangnya di Bertam, Pulau Pinang, kira-kira 6.10 petang tadi akibat kanser usus.
Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Langsat di Kepala Batas, Pulau Pinang.
© New Straits Times Press (M) Bhd