Faisal Halim boleh beraksi pada final Piala FA

Faisal Halim boleh beraksi pada final Piala FA


KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil membayangkan penyerang lincah, Faisal Halim boleh diturunkan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Namun pengendali Gergasi Merah itu enggan mendedahkan taktikal pasukannya sama ada Faisal diturun sepenuh masa atau sebaliknya.

“Boleh (diturunkan,). Pembantu saya (Safuwan) kata boleh,” katanya yang sebelum itu bergurau dengan meminta pendapat kapten pasukan, Safuwan Baharudin yang turut bersetuju Faisal diturunkan.

Nidzam berkata demikian pada sidang media pra perlawanan akhir Piala FA menentang JDT yang juga juara bertahan malam esok.

Dia menjawab soalan sama ada tonggak Harimau Malaya itu akan diturunkan pada final itu.

Pada 11 Ogos lalu, Faisal kembali beraksi di atas padang buat kali pertama pada aksi Liga Super 2024 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Mickey dimasukkan pada 10 minit terakhir sebelum perlawanan tamat dengan memakai topeng khas di muka.

Aksi itu dinantikan oleh pemain kelahiran Pulau Pinang setelah sekian lama berehat akibat kecederaan melecur tahap empat yang dialaminya pada awal Mei lalu.

Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top