Faisal Halim rindu beraksi untuk Harimau Malaya

Faisal Halim rindu beraksi untuk Harimau Malaya


Faisal Halim mengakui amat merindui peluang untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas hampir setahun tidak bersama skuad kebangsaan. Foto Bernama

PEMAIN sayap lincah, Faisal Halim mengakui amat merindui peluang untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas hampir setahun tidak bersama skuad kebangsaan.

Menurut Faisal, dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi tetap bersedia memberikan yang terbaik sekiranya diberi peluang untuk kembali memperkuatkan pasukan dalam masa terdekat.

“Sudah tentu rindu, hampir setahun tidak bersama skuad negara.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi, tetapi jika layak, saya akan berikan yang terbaik. Jika belum waktunya, ia bukan alasan untuk saya patah semangat, sebaliknya saya akan berusaha memperbaiki diri,” katanya kepada Astro Arena.

Pemain Selangor FC itu turut menjelaskan bahawa dia sendiri tidak pasti sama ada layak untuk dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan pada ketika ini atau pada masa akan datang.

“Jika diberikan peluang dalam masa terdekat, ia merupakan cabaran besar untuk membantu pasukan,” ujarnya.

Faisal sebelum ini menjadi antara tonggak utama dalam pasukan Harimau Malaya namun kecederaan akibat menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu menyaksikan dia terpaksa berehat panjang.

Dia turut berhadapan cabaran untuk kembali ke prestasi terbaiknya dan hatrik yang dilakukan ketika menentang Kelantan Darul Naim FC dalam aksi Liga Super pada Ahad menyaksikan dia mula mendapat sentuhan seperti dulu.

Aksi terdekat Harimau Malaya perlawanan menentang Nepal dalam saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 25 Mac ini.

Setakat ini, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih berteka-teki mengumumkan barisan pemain yang akan menggalas misi penting bertemu Nepal itu.



Source link

OR

Scroll to Top