PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bintang kebangsaan, Faisal Halim berada dalam keadaan terbaik dan tidak terganggu meskipun berdepan masalah peribadi menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin.
Menurut Cklamovski, Faisal menunjukkan disiplin tinggi sepanjang sesi latihan skuad kebangsaan, bekerja keras dan sentiasa berusaha mengekalkan prestasi cemerlang di padang.
“Dari segi bola sepak, Faisal benar-benar berada dalam ‘good shape’.
“Dia menjalani latihan konsisten, pendekatannya profesional dan mentalitinya untuk menjadi yang terbaik cukup mengagumkan,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan menentang Singapura pada Rabu.
Sebelum ini, isteri kepada Faisal iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril telah memfailkan penceraian terhadap pemain sayap itu pada Selasa.
Dalam pada itu, Cklamovski mengakui hal peribadi pemain itu adalah urusan keluarga yang perlu dihormati, namun seluruh pasukan tetap memberikan sokongan padu.
“Kami semua berada di belakangnya. Dia menguruskan hal peribadinya dengan baik, tetapi dari segi bola sepak, tiada sebarang kesan.
“Dia kekal fokus dan bersedia sepenuhnya untuk pasukan,” ujarnya.
Cklamovski turut mengesahkan Faisal tetap berada dalam perancangannya untuk aksi bertemu Singapura, namun menegaskan keputusan akhir hanya akan dibuat pada hari perlawanan.
“Kita akan lihat senarai skuad esok, namun dia berada dalam keadaan terbaik dan sedia sepenuhnya.
“Dia telah berlatih serta membuat persiapan rapi untuk aksi ini,” katanya.






