Faisal kekal bersama Selangor FC

Faisal kekal bersama Selangor FC


Faisal Halim. Foto Selangor FC

PEMAIN sensasi, Faisal Halim disahkan akan terus kekal bersama naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/26.

Selepas melalui musim yang mencabar apabila menjadi mangsa simbahan asid pada Mei tahun lalu, Selangor FC memaklumkan bahawa Faisal, atau lebih dikenali dengan julukan ‘Mickey’, kini bersedia memberikan sepenuhnya komitmen kepada pasukan untuk musim hadapan.

Kelab itu turut memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh Faisal sejak hari pertama menyarung jersi nombor 7 Gergasi Merah pada musim 2023, sehingga detik beliau kembali bangkit selepas melalui detik paling getir dalam kariernya.

“Membuat 51 penampilan secara keseluruhan, menjaringkan 16 gol serta mencatat 13 bantuan gol. Juga tidak dilupakan ledakan hatrik ketika menentang Kelantan Darul Naim FC musim lalu.

“Mickey bukan sahaja pulih, malah beliau bangkit lebih kuat. Musim lalu juga menyaksikan beliau disenaraikan dalam kesebelasan utama ABK 2024/25 Fans XI dan kekal menjadi tunjang utama Harimau Malaya,” kata Selangor FC menerusi satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Selain Faisal, Selangor FC turut mengumumkan beberapa pemain lain yang akan terus menjadi tonggak penting skuad Gergasi Merah.

Antaranya ialah pemain tengah Harimau Malaya, Nooa Laine, Harith Haiqal Adam Afkar, Richmond Ankrah, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Abu Khalil, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Alvin Fortes, Mohammad Abualnadi serta Quentin Cheng.

Musim 2025/26 dijangka lebih mencabar buat Selangor FC kerana selain saingan domestik, pasukan itu juga akan bersaing dalam dua kejohanan serantau iaitu Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN.

 



Source link

OR

Scroll to Top