am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Harapan penyokong Harimau Malaya untuk melihat kelibat tonggak lincah, Faisal Halim, dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Palestin Isnin ini tidak kesampaian apabila pemain sayap itu tidak tersenarai bersama skuad ke Johor Bahru.
Pengendali skuad negara, Peter Cklamovski, menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor membabitkan keadaan semasa pemain terbabit.
“Kami putuskan Mickey (Faisal Halim) tidak ikut serta kali ini. Persiapan bola sepaknya sangat baik dan komitmen terhadap pasukan juga sangat tinggi. Bagaimanapun dia sedang berdepan isu peribadi yang kita hormati, selain ada sedikit kecederaan kecil pada lututnya,” katanya pada sidang media sebelum latihan rasmi pasukan, hari ini.
Menurut Cklamovski, walaupun kecederaan itu tidak serius serta tidak menjejaskan kerjaya Faisal, keputusan terbaik adalah untuk merehatkan pemain Selangor FC itu daripada tugasan kali ini.
“Dia akan fokus untuk persediaan minggu akan datang, sama ada dalam dan luar padang. Dia seorang yang sangat profesional dan menjadi inspirasi kepada negara. Kami sebagai pasukan kebangsaan akan terus menyokongnya 100 peratus,” jelasnya.
Skuad Harimau Malaya dijadual berdepan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini, yang dianggap ujian penting menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Oktober depan.
Terdahulu, pada 2 September lalu, isteri Faisal, Nur Syazwani Mizuana Shahril memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang.
Nur Syazwani dilaporkan berkata, Faisal pernah melafazkan cerai terhadap dirinya pada 15 Jun lalu sebelum rujuk kembali sehari kemudian.
Untuk rekod, Faisal atau Mickey mendirikan rumah tangga dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Khalish Aryan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






