PEMAIN sensasi, Faizal Saari masih belum puas dengan kejayaan dilakar Terengganu Hockey Team (THT) biarpun selepas meraih dua trofi pada musim ini.
Penyerang prolifik itu mengintai peluang untuk merangkul Piala TNB sebagai pelengkap momen manis bagi edisi 2025.
Pemain berusia 34 tahun itu memacu kejayaan THT muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) buat kali ketujuh pada Ahad.
Malah, Faizal turut menyifatkan gelaran tersebut bakal menjadi simbol penguasaan THT dalam kancah liga tempatan.
“Bagi saya, satu sejarah apabila dalam sembilan perlawanan liga, kita melakar rekod bersih, tanpa kalah. Tahun 2025 memang manis, namun kalau nak lagi manis kena menang Piala TNB,” ujar Faizal.
THT mengesahkan gelaran itu milik mereka selepas menewaskan kelab jemputan dari Australia, Territory Stingers 4-1 dalam aksi terakhir liga di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil pada Ahad.
Lebih manis, kemenangan ini bukan sekadar menebus kekecewaan musim lalu apabila mereka dipintas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada saat akhir, malah disulami aksi sensasi Faizal yang meledak kesemua gol THT.
THT sebelum ini mengungguli Piala Sumbangsih seteleh mengalahkan TNB 2-1 dalam aksi pembuka tirai MHL pada Januari lalu.
“Bagi Piala TNB kita perlu bermain tiga perlawanan (suku akhir, separuh akhir dan final), jadi apa-apa boleh berlaku dan kalau ada kesalahan kecil memang akan menghukum kita.
“Saya harap semua pemain dapat elakkan selain kekalkan momentum untuk baki perlawanan,” ujar Faizal.
Faizal yang berhasil meledak 19 gol peribadi setakat ini juga yakin mampu menambah koleksi jaringannya pada Piala TNB nanti.
“Peluang untuk muncul penjaring terbanyak masih terbuka, buat masa sekarang saya ada 19 gol dan ada baki tiga lagi perlawanan untuk Piala TNB,” katanya.
Dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil pada Khamis, THT akan membuat perhitungan dengan Kelab Hoki Matador yang menewaskan TNB Thunderbolts 2-1 dalam aksi suku akhir pada Selasa.
Sebagai rekod, kali terakhir THT menjuarai MHL adalah pada 2023 dengan 40 mata sambil mengekalkan rekod tanpa kalah.