Tokyo: Berikut beberapa fakta mengenai pengeboman bandar Hiroshima di Jepun dan serangan kedua di Nagasaki tiga hari kemudian.
Ia satu-satunya senjata nuklear pernah digunakan dalam perang.
Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.
HIROSHIMA
Pada jam 8.15 pagi, 6 Ogos 1945, sebuah pesawat pengebom B-29 Superfortress Amerika yang dinamakan Enola Gay menjatuhkan bom uranium-235 seberat 4,535 kilogram (kg), yang membunuh sekitar 78,000 orang serta-merta.
Menjelang akhir tahun itu, jumlah kematian meningkat kepada sekitar 140,000 orang.
Bom itu yang diberi nama jolokan “Little Boy”, meletup kira-kira 580 meter di atas pusat bandar, mengakibatkan gelombang haba yang mencapai 4,000 darjah Celsius (7,200 Fahrenheit) dalam radius kira-kira 4.5 kilometer.
Lebih separuh bangunan di bandar itu musnah sama sekali.
NAGASAKI
Pada 11.02 pagi, 9 Ogos 1945, Amerika Syarikat menjatuhkan bom plutonium-239 seberat 4,535 kg, yang diberi nama jolokan ‘Fat Man’.
Ia meletup kira-kira 500 meter di atas tanah, membunuh sekitar 27,000 orang serta-merta daripada anggaran jumlah penduduk bandar itu seramai 200,000 orang.
Menjelang akhir 1945, jumlah kematian akibat pendedahan radiasi akut meningkat sekitar 70,000 orang.
JUMLAH KEMATIAN:
Jepun setakat ini mengiktiraf jumlah keseluruhan kematian akibat pengeboman, termasuk akibat penyakit radiasi dan kecederaan adalah 344,306 orang di Hiroshima (setakat 6 Ogos 2024) dan 198,785 orang di Nagasaki (setakat 9 Ogos 2024).
© New Straits Times Press (M) Bhd