FAM belum muktamad tarikh Pestabola Merdeka

FAM belum muktamad tarikh Pestabola Merdeka


PIHAK Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa mereka masih belum memuktamadkan tarikh penganjuran Pestabola Merdeka 2025.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, sebarang keputusan akhir berhubung penganjuran kejohanan tertua Asia itu hanya akan dibuat setelah mengadakan perbincangan bersama pasukan kebangsaan dan pihak berkaitan.

“Kami akan berbincang dengan pasukan kebangsaan dan melihat perancangan mereka, kemungkinan pada bulan September.

“Bagaimanapun, buat masa ini, tiada sebarang keputusan rasmi yang boleh diumumkan,” katanya kepada pemberita.

Noor Azman berkata demikian bagi mengulas mengenai tarikh penganjuran Pestabola Merdeka edisi ke-44, yang menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Untuk rekod, Pestabola Merdeka merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang lazimnya dianjurkan setiap tahun.

Tambah Noor Azman, keputusan mengenai penganjuran Pestabola Merdeka juga akan mengambil kira pandangan jurulatih baharu Harimau Malaya serta jawatankuasa pengurusan pasukan.

“Kami akan membawa perkara ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan untuk perbincangan lanjut.

“Ini kerana, jurulatih baharu juga mungkin mempunyai perancangan sendiri, termasuk perlawanan persahabatan yang telah dirancang,” katanya.

Mengulas mengenai aksi persahabatan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, Noor Azman berkata, ia hanya merupakan khabar angin dan FAM juga tidak ada menerima pemakluman hitam putih berhubung perkara tersebut.

“Lawan Manchester (United), itu adalah satu syarikat yang buat. Dia buat lawan dengan bintang-bintang ASEAN kan?

“Kami pun tak dapat secara hitam putih (rasmi) mengenai perlawanan itu,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top