PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan tidak akan menyerah kalah selepas rayuan mereka berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ditolak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mencari keadilan dan mempertahankan nama baik bola sepak negara.
Menurutnya, keputusan untuk meneruskan kes itu ke CAS bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas melalui perbincangan mendalam bersama pasukan undang-undang serta kepimpinan tertinggi badan induk berkenaan.
“Kami sedar proses ini panjang dan memerlukan kos yang besar, namun demi maruah bola sepak negara, FAM sanggup mengharungi apa sahaja cabaran di hadapan.
“Pada masa sama, kami tidak akan mudah berputus asa walaupun keputusan rayuan sebelum ini tidak memihak kepada kami.
“Harapan kami agar seluruh penyokong bola sepak tanah air terus mendoakan serta memberi sokongan kepada usaha ini,” katanya.
Pada Isnin, FIFA mengesahkan rayuan yang dikemukakan oleh FAM telah ditolak selepas meneliti hujahan serta mengadakan sesi pendengaran baru-baru ini.
Keputusan itu menyaksikan hukuman denda terhadap FAM serta penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain warisan kekal seperti yang diumumkan sebelum ini.
Menurut Yusoff, pihaknya sudah bersedia untuk berjuang di CAS sekali gus memastikan keadilan dapat ditegakkan demi bola sepak negara.
“FAM akan bersedia dengan segala dokumen dan butiran tertentu untuk dibawa ke CAS dalam usaha memastikan badan induk bola sepak ini terlepas daripada hukuman yang dikenakan FIFA.
“Peguam yang dilantik sedang meneliti semua perkara yang perlu dan FAM tidak akan berdiam diri. Kami akan gunakan setiap ruang yang ada untuk mencari keadilan,” jelasnya.
Ringkasan AI
- FAM tidak akan menyerah kalah selepas rayuan berkaitan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ditolak oleh FIFA
- Pemangku Presiden FAM menyatakan kes akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan untuk mencari keadilan
- Keputusan meneruskan kes ke CAS dibuat selepas perbincangan mendalam dengan pasukan undang-undang dan kepimpinan FAM
- FAM sanggup mengharungi cabaran demi maruah bola sepak negara walaupun menyedari proses ini memerlukan kos besar
- FIFA mengekalkan hukuman denda dan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain warisan selepas menolak rayuan FAM






